KUALA LUMPUR: Jabatan bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Shahrul Anuar Abdul Wahab berkata, setakat ini siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih dijalankan oleh pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 8.41 malam menerusi panggilan kecemasan daripada seorang warden asrama.
“Maklumat berkenaan telah disalurkan kepada pusat kawalan daerah DCC Wangsa Maju sebelum Pasukan Zon Setapak 6 bersama unit peronda (MPV) dikerahkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 96 pelajar mendaftar sebagai penghuni asrama berkenaan, namun ketika kejadian hanya 91 pelajar berada di asrama manakala lima lagi berada di rumah masing-masing.
“Kesemua pelajar yang berada di asrama berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” jelas beliau.
Katanya, operasi melibatkan 40 anggota bomba bersama sembilan buah jentera dan satu van penyelamat, tiga anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota ambulans serta lapan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). –UTUSAN