Pulau Pinang catat peningkatan kes HFMD sebanyak 156.2 peratus

Pulau Pinang catat peningkatan kes HFMD sebanyak 156.2 peratus

DANIEL Gooi (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan situasi semasa berhubung penularan HFMD di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 579 kes baharu melibatkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikesan di Pulau Pinang pada minggu epidemiologi ke-15 iaitu antara 6 hingga 12 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 353 kes atau kira-kira 156.2 peratus berbanding minggu sebelumnya selain pengesanan empat kluster baharu.

“Peningkatan ini dipercayai berlaku susulan cuti perayaan Aidilfitri yang lalu.

“Namun begitu, semua kes yang dilaporkan di Pulau Pinang menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membincangkan situasi semasa penularan HFMD di negeri ini.

Mengulas lanjut, Gooi berkata, sehingga 12 April lalu, Pulau Pinang telah merekodkan sebanyak 4,585 kes kumulatif HFMD, berbanding hanya 879 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes, diikuti oleh Seberang Perai Selatan atau SPS dengan 884 kes, Timur Laut (852), Barat Daya (845), dan Seberang Perai Utara (SPU) dengan 642 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN