PETALING JAYA: Penjualan motosikal di negara ini dijangka terus meningkat apabila semakin ramai pengguna jalan raya beralih kepada kenderaan dua roda itu bagi kegunaan harian untuk menjimatkan kos.
Berdasarkan statisitik di laman sesawang data.gov.my, sebanyak 13.25 juta buah motosikal berdaftar di negara ini sejak 2000.
Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, 184,404 motosikal baharu didaftarkan iaitu meningkat 12.9 peratus berbanding 163,407 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Penganalisis pengangkutan, Ir. Dr. Mohd. Azman Abas berkata, peningkatan dijangka berterusan susulan ketidaktentuan harga dan bekalan bahan api akibat konflik Asia Barat yang berlarutan lebih sebulan.
Katanya, motosikal dilihat sebagai pilihan paling efisien untuk menjimatkan sehingga 70 peratus penggunaan bahan api berbanding kereta, selain kos penyelenggaraan lebih murah.
Katanya dengan adanya pemberian subsidi RO95 (BUDI95), pengguna jalan raya melihat pemilikan motosikal sebagai satu strategi bagi memastikan kos penggunaan 200 liter sebulan dapat dijimatkan.
“Apabila bekalan atau penggunaan petrol menjadi terhad, pengguna secara semula jadi akan beralih kepada mod pengangkutan yang lebih menjimatkan. Motosikal biasanya menjadi alternatif utama kerana penggunaan petrolnya jauh lebih rendah dan sesuai untuk perjalanan harian ke tempat kerja terutamanya di kawasan bandar.
“Ini terbukti apabila sebanyak 184,404 motosikal baharu didaftarkan dalam tiga bulan tahun ini membabitkan 68,755 (Januari), 55,854 (Februari) dan 59,795 (Mac). Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 163,407 motosikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sekiranya krisis bekalan tenaga api ini berlarutan lamanya, motosikal bukan lagi dilihat sebagai pilihan sementara, sebaliknya menjadi sebahagian daripada rutin harian pengguna bagi mengurangkan perbelanjaan minyak.
Bagaimanapun, jelasnya, peningkatan penggunaan motosikal perlu diiringi dengan penambahbaikan aspek keselamatan dan infrastruktur jalan raya bagi mengatasi risiko kemalangan.
“Motosikal antara pengangkutan harian utama di Malaysia dan peningkatan jumlahnya akan secara tidak langsung meningkatkan pendedahan risiko kemalangan.
“Jika berlaku peralihan kepada motosikal secara mendadak, dari sudut kapasiti jalan raya,
kerajaan dan pihak berkuasa perlu melihat keperluan laluan tambahan atau khas untuk
motosikal di kawasan tertentu.
“Dalam masa sama, kerjaan perlu meningkatkan penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur sedia ada seperti keadaan permukaan jalan, pencahayaan dan penandaan jalan. Penyelenggaraan yang baik bukan sahaja meningkatkan keselamatan penunggang motosikal tetapi memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya,” katanya.
Tambahnya, dalam jangka panjang, peralihan kepada motosikal elektrik juga dilihat berkesan sekiranya isu bekalan bahan api ini berpanjangan kerana tidak bergantung kepada petrol dan kos lebih rendah. – UTUSAN










