Sabah rayu tambahan subsidi elektrik susulan kenaikan kos diesel

Sabah rayu tambahan subsidi elektrik susulan kenaikan kos diesel

ARMIZAN Mohd. Ali ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Benoni hari ini. - UTUSAN/RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan pemberian subsidi elektrik tambahan kepada Sabah tahun ini susulan peningkatan kos bahan api, khususnya diesel yang digunakan dalam penjanaan bekalan elektrik di negeri ini.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan kos bahan api memberi implikasi langsung terhadap kos pembekalan elektrik serta keperluan subsidi yang ditanggung kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, merayu supaya peruntukan subsidi elektrik bagi Sabah ditambah bagi menampung peningkatan kos berkenaan.

“Oleh kerana keperluan subsidi tahun ini dijangka meningkat berikutan kenaikan kos diesel, kita merayu supaya Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan tersebut.

“Implikasi kewangan bagi subsidi yang disasarkan ini mencecah ratusan juta ringgit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Benoni, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun kuasa kawal selia elektrik sudah diambil alih kerajaan negeri bermula 2024, kerajaan Persekutuan masih menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah dan komitmen itu amat dihargai.

Katanya, bantuan berterusan itu wajar dipertimbangkan sepanjang tempoh transformasi kestabilan bekalan elektrik Sabah yang memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan.

“Kerajaan negeri baharu mengambil alih kuasa kawal selia selama dua tahun, sedangkan sebelum ini Kerajaan Persekutuan memegang kuasa kawal selia selama lebih 40 tahun.

“Jadi, isu legasi sudah tentu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh singkat, sama ada lima atau 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata pertimbangan mengenai kesinambungan subsidi juga perlu mengambil kira sumbangan Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, termasuk komitmen negeri itu untuk tidak menggunakan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik.

Katanya, Sabah turut mengekalkan kira-kira 63 peratus kawasan negeri dilitupi hutan, melebihi komitmen pengekalan 50 peratus litupan hutan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, rayuan rasmi berhubung keperluan tambahan subsidi itu sudah dikemukakan agensi negeri kepada Kerajaan Persekutuan susulan peningkatan kos bahan api akibat konflik geopolitik di Asia Barat.

Sementara itu, Armizan berkata sebanyak 16 pencawang elektrik baharu dibina dan disiapkan di kawasan Parlimen Papar dari 2023 hingga Ogos lalu sebagai sebahagian usaha memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×