Gencatan senjata 10 hari antara Lubnan-Israel - Utusan Malaysia

Gencatan senjata 10 hari antara Lubnan-Israel

GENCATAN senjata antara Israel dengan Lubnan berlanjutan selama 10 hari. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Satu gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa pada Khamis selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini mengumumkan perjanjian tersebut.

Beliau menyatakan harapan untuk menganjurkan pertemuan bersejarah antara pemimpin kedua-dua negara dalam beberapa hari akan datang.

Gencatan senjata itu secara rasmi bermula pada tengah malam waktu tempatan di Israel dan Lubnan atau jam 5 pagi waktu Malaysia hari ini. Israel telah berperang dengan kumpulan Hizbollah sejak ia melancarkan serangan roket sebagai sokongan kepada Iran bulan lalu.

Hizbollah belum secara rasmi menyatakan sama ada ia akan mengiktiraf gencatan senjata tersebut. Namun, seorang ahli parlimennya memberitahu AFP pada Khamis bahawa kumpulan itu akan menghormatinya jika serangan Israel terhadap pejuangnya dihentikan.

Perang di Asia Barat bermula apabila AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, dan Lubnan turut terheret apabila Hizbollah melancarkan serangan roket ke arah Israel pada 2 Mac.

Sejak itu, serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 2,000 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala tentera darat Israel telah menceroboh bahagian selatan negara tersebut.

Ketika gencatan senjata mula berkuat kuasa, tentera Israel berkata, ia telah menyerang lebih 380  sasaran organisasi Hizbollah di selatan Lebanon  dan berada dalam keadaan bersiap siaga tinggi untuk menyambung semula serangan.

Trump berkata, perjanjian menghentikan permusuhan itu dicapai selepas panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun.

“Kedua-dua pemimpin ini telah bersetuju bahawa untuk mencapai keamanan, mereka akan secara rasmi memulakan gencatan senjata selama 10 hari pada jam 5 petang waktu EST (waktu timur AS,” atau 2100 GMT (5 pagi ini waktu Malaysia), katanya di platform Truth Social miliknya.

Trump kemudian berkata beliau menjangkakan Netanyahu dan Aoun akan melawat Rumah Putih dalam tempoh empat atau lima hari akan datang.

Pertemuan bersemuka peringkat tertinggi antara kepimpinan Lubnan dan Israel akan menjadi detik penting bagi rantau tersebut.

Seorang jurucakap hospital Israel berkata, tiga orang cedera pada Khamis, sejurus sebelum gencatan senjata bermula.

Serangan Israel ke atas bandar Ghazieh di selatan Lubnan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 33 yang lain, menurut kementerian kesihatan negara tersebut.

Netanyahu berkata, gencatan senjata dengan Lubnan membuka peluang kepada perjanjian damai bersejarah dengan Beirut  tetapi menyatakan bahawa pelucutan senjata Hizbollah kekal sebagai syarat utama.

Trump berkata, Hizbollah termasuk dalam gencatan senjata  tetapi menurut Jabatan Negara AS, perjanjian tersebut mengkehendaki Lubnan sendiri membubarkan kumpulan yang disokong Iran itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN