Petugas Tabung Haji adakan doa selamat mohon kelancaran operasi

Petugas Tabung Haji adakan doa selamat mohon kelancaran operasi

AFFANDI Abdullah (tengah) ketika bacaan surah Yasin dan doa selamat di Ibu Pejabat TH di Bangunan Roha Al-Madinah, Madinah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Petugas Tabung Haji (TH) di Madinah melaksanakan program tradisi iaitu bacaan surah Yasin dan doa selamat sebelum menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025M di sini, semalam.

Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah berkata, program setiap tahun itu biasanya dihadiri semua petugas di Pusat Perkhidmatan Operasi (PPO) Madinah.

“Sebelum bermulanya operasi haji di Tanah Suci serta di tanah air sendiri serta penerbangan masuk jemaah haji KT01 ke Kota Madinah ini.

“Harapan kita agar urusan operasi haji musim ini berjalan lancar dan semua jemaah serta petugas diberikan kesihatan yang baik sepanjang bertugas di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat TH di bangunan Roha Al-Madinah.

Program yang dimulai dengan solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yasin, tazkirah dan ditutup dengan solat Isyak.

Bacaan Yasin dipimpin oleh Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin.

Tambah Affandi, ketika ini lebih 60 petugas telah tiba dan bersedia untuk menyambut ketibaan atau kedatangan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia.

Kumpulan KT01 seramai 284 jemaah dijangka tiba pukul 7.50 pagi esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz.

Jemaah bakal berada di bumi Madinah selama enam hari lima malam sebelum bergerak menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN