KANGAR: Selepas 25 tahun, Perlis kembali mempunyai panggung wayang apabila kemudahan itu akan beroperasi di Kangar Jaya Mall di sini bermula 19 Disember ini sekali gus membangkitkan keterujaan rakyat di negeri ini.
Kali terakhir orang ramai menonton wayang di Perlis iaitu di panggung Kapitol di Kangar sekitar tahun 2001 dan selepas itu mereka terpaksa pergi ke negeri jiran jika ingin menonton filem-filem terbaharu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pembukaan wayang tersebut sudah pasti mengujakan selepas lebih 25 tahun kemudahan berkenaan tidak ada di Perlis.
Katanya, di pihak kerajaan negeri, aspek daripada segi garis panduan khususnya akan dikawal sehabis baik bagi menghindar perkara-perkara tidak sewajarnya.
Ujar beliau, garis panduan tersebut mengikut kaedah-kaedah seperti di Kedah dengan apa yang penting memberi keselesaan kepada rakyat.
“Di dalam panggung wayang tersebut juga disediakan kamera litar tertutup (CCTV) meskipun tanpa pengasingan lelaki dan perempuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Asrul Aimran berkata, kewujudan pusat beli-belah terbesar di Perlis itu bakal menjadi salah satu lagi tarikan baharu di negeri ini sekali gus menjadi lokasi untuk riadah keluarga.
“Rakyat Perlis selepas ini dapat menjimatkan masa dengan tidak perlu lagi pergi jauh memandangkan kemudahan tersebut sudah ada di negeri ini.
“Hujung minggu pula sudah pasti ada tempat untuk keluarga berkunjung ke sini (Kangar Jaya Mall) yang mempunyai pelbagai kemudahan,” katanya.
Seorang kakitangan swasta, Azizi Bakar, 40, berkata, selepas sekian lama, Perlis kembali ada kemudahan wayang yang sememangnya cukup dinantikan.
“Kali terakhir saya menonton wayang di Perlis sekitar tahun 2000 dan selepas itu kemudahan tersebut ditutup, kami terpaksa pergi ke Kedah atau Pulau Pinang untuk menonton filem terbaharu.
“Selepas ini, tidak perlu lagi menempuh perjalanan jauh untuk menonton wayang. Pembukaan wayang di Perlis juga agak bertepatan memandangkan Perlis sekarang menjadi tarikan pelancong.
“Dengan ada panggung wayang ini maka lengkaplah segala kemudahan yang ada di negeri ini sama seperti negeri-negeri lain,” katanya.-UTUSAN.










