PETALING JAYA: Syarikat Malaysia berjaya menjana jualan eksport bernilai RM163.5 juta di Automechanika Shanghai 2025, sekali gus membuktikan daya saing produk dan perkhidmatan automotif tempatan di pasaran global.
Pameran perdagangan antarabangsa yang berlangsung dari 26 hingga 29 November 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan, Shanghai, China itu diiktiraf sebagai antara pameran terbesar dunia bagi industri pasaran selepas jualan automotif.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, penyertaan ini merupakan kali keempat Malaysia mengambil bahagian dalam pameran berkenaan dengan 10 syarikat tempatan mempamerkan keupayaan masing-masing di bawah Pavilion Malaysia.
“Pameran ini menyediakan platform strategik kepada syarikat Malaysia untuk berhubung secara langsung dengan pembeli antarabangsa, khususnya dari China, melalui sesi padanan perniagaan (B2B) dan pembentangan yang diatur lebih awal.
“Selain itu, sesi jaringan turut dianjurkan bagi memperkukuh kerjasama perniagaan antara syarikat Malaysia dan persatuan industri automotif di Shanghai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, produk dan perkhidmatan Malaysia menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli dari China, Asia Barat, ASEAN serta negara Eropah, terutama dalam industri automotif dan jentera khususnya formulasi pelincir, alat ganti serta komponen kenderaan.
Jelasnya, prestasi itu juga mencerminkan tahap keyakinan tinggi pasaran antarabangsa terhadap pengeluar peralatan asal (OEM) Malaysia yang mematuhi piawaian kualiti antarabangsa yang ketat.
Matrade berkata, seiring perkembangan industri global, permintaan bagi pasaran komponen OEM dunia dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM163.5 bilion) pada 2024 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 4.2 peratus bagi tempoh sedekad akan datang.
Sementara itu, katanya, pasaran selepas jualan automotif global pula dianggarkan bernilai AS$460 bilion (RM1.8 trilion) dan dijangka mencatat CAGR 3.6 peratus dari 2025 hingga 2032, didorong oleh peningkatan armada kenderaan global serta trend e-dagang.
“Pada 2024, eksport global produk automotif Malaysia bernilai RM10.37 bilion, meningkat 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya.
Tambahnya, destinasi eksport utama termasuk Singapura, Thailand, Australia, Taiwan dan Indonesia, manakala China berada di kedudukan ke-11 dengan nilai eksport RM242.38 juta.
“Memandang ke hadapan, syarikat automotif Malaysia perlu memperkukuh keupayaan masa depan dengan meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memodenkan teknologi serta mengadaptasi piawaian mobiliti hijau, khususnya dalam era kenderaan tenaga baharu (NEV).
“Langkah ini penting bagi memastikan sektor automotif negara kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam rantaian bekalan global,” katanya. – UTUSAN










