TUMPAT: Dua buah pasar terapung di Tumpat yang menjadi ikon pelancongan di negeri ini iaitu Pasar Terapung Seri Tanjong dan Pulau Suri menutup operasinya susulan musim tengkujuh.
Pasar Terapung Seri Tanjong menutup operasinya bermula 16 November lalu sementara Pulau Suri pada 1 November lepas.
Pemilik tapak Pasar Terapung Sri Tanjung, Saidi Mamat@Ghani, 50, berkata, pihaknya akan kembali beroperasi pada 27 Mac 2026 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, sepanjang tempoh ‘bercuti’ itu, kerja-kerja menaik taraf tapak dilakukan bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung apabila dibuka semula nanti.
“Ketika ini kerja-kerja naik taraf kawasan sudah bermula. Sepanjang ‘bercuti’ kebanyakan peniaga kembali berniaga berhampiran kawasan rumah mereka.
“Bagaimanapun, ada sebahagian dalam kalangan peniaga melakukan pekerjaan lain bagi menampung pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saidi berkata, pihaknya menawarkan 43 gerai yang menjual pelbagai menu makanan, kuih-muih tradisional Kelantan termasuk hasil kraftangan, batik dan minyak wangi keluaran rakyat tempatan.-UTUSAN.










