Andre pilih lompat kijang Sukan Asia

Andre pilih lompat kijang Sukan Asia

Andre Anura Anuar meraih pingat emas dalam acara lompat jauh dengan catatan 7.71 meter di Sukan SEA 2025, kelmarin. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Andre Anura Anuar meluahkan hasrat untuk bertanding dalam satu acara sahaja pada tahun hadapan dengan acara lompat jauh akan menjadi ‘korban’ biarpun memenangi emas di Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.

Andre menamatkan penantian 22 tahun negara dalam acara lompat jauh lelaki selepas melakukan lompatan sejauh 7.71 meter (m) pada percubaan terakhir untuk meraih emas di Stadium Nasional Supachalasai.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh adalah menerusi Mohd. Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Sukan SEA Hanoi, Vietnam.

Kemenangan itu menebus kekecewaannya dalam acara lompat kijang di mana dia sekadar meraih perak dengan catatan 16.29m, emas diraih atlet Vietnam, Ho Trong Manh Hung (16.33m).

Menurut Andre, tahun depan cabaran lebih sengit terutama dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang membuka tirai pada Oktober nanti.

“Saya akan fokus pada lompat kijang semula. Sebab kali ini baru saya dapat semula ‘rasa’ untuk lompat kijang, tetapi tidak menang. Itulah yang sedikit sedih.

“Tetapi itulah, saya berjaya lakukan untuk raih emas lompat jauh dan menebus kembali kekecewaan saya dalam acara lompat kijang. Sebenarnya saya sasarkan dua emas, tetapi tersasar di lompat kijang.

“Bagi tahun depan, saya akan berlatih semula untuk lompat kijang. Jadi bagi persiapan Sukan Asia nanti, kemungkinan besar saya akan fokus kepada satu acara itu,” katanya.

Ditanya mengapa lompat kijang menjadi keutamaan, Andre menjelaskan beliau merasakan potensi dalam acara itu masih ada, berbanding lompat jauh di mana beliau telah mencapai prestasi yang konsisten.

“Seperti yang saya cakap, saya baru dapat semula ‘rasa’ untuk lompat kijang, kembali ke lompatan sejauh 16 meter.

“Untuk lompat jauh pula, tahun ini saya sudah beberapa kali mencatat 7.7m. Jadi, bolehlah bertenang sekejap untuk lompat jauh dan fokus semula pada lompat kijang, sebab saya belum dapat jarak yang sepatutnya kami sasarkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN