Seramai 14 orang murid Orang Asli etnik Jahut yang beragama Islam ceria apabila menerima sumbangan wang untuk berbelanja baju raya daripada Pengusaha Akok Cikgu Machang, Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut dekat sini.
Masing-masing murid berkenaan menerima wang sebanyak RM100 daripada wakil pengusaha makanan tersebut, Abd Manaf Mat, kemudiannya Guru Besar SK Sungai Kiol, Rosdi Mat Diah bersama guru Pendidikan Islamke bandar Jerantut berbelanja sepasang baju raya untuk disampaikan sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Abd Manaf yang juga seorang bekas Guru Besar berkata, pengusaha Akok berkenaan, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jaja pernah bertugas bersamanya di SK
Tanjung Besar, Lipis pada 2011 dan selepas itu kembali bertugas di kampungnya, Machang, Kelantan.
“Mohd Sharizal meminta bantuan mengenal pasti sekolah yang mempunyai murid Orang Asli beragama Islam untuk menyampaikan sumbangan duit raya,” katanya.
Menurut Abd Manaf, Mohd. Sharizal bersara awal untuk menceburi politik dan merupakan pengusaha akok Cikgu Machang. Setiap murid di situ menerima RM100 untuk perbelanjaan baju raya.
Mohd Sharizal yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan popular dalam kalangan warga SK Tanjong Besar, Lipis pernah bertugas sebagai Guru Prasekolah dan Abd Manaf sebagai Guru Besar pada 2011 lalu. –UTUSAN