Pemilihan PKR tonjol barisan kepimpinan parti masa hadapan

Pemilihan PKR tonjol barisan kepimpinan parti masa hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR dilihat sedang menyiapkan barisan kepimpinan baharu untuk menggantikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ini kerana, pemilihan PKR di peringkat Cabang bukan sahaja menyaksikan kemenangan muka-muka baharu tetapi turut melibatkan nama-nama besar yang memegang pelbagai jawatan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri tumpas dalam pemilihan.

Antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas kepada selebriti, Datuk Afdlin Shauki dalam perebutan Ketua Cabang Setiawangsa dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim kalah dalam pertandingan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya.

Malah, Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy turut menemui nasib sama seperti Nik Nazmi dan Adam Adli apabila kecundang dalam usahanya merebut jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang.

Namun, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan terselamat apabila berjaya memenangi Ketua Cabang Sungai Buloh.

Beberapa individu berjawatan seperti Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; P Prabakaran (Ahli Parlimen Batu), Lee Chean Chung (Ahli Parlimen Petaling Jaya), Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) juga kecundang dalam pemilihan peringkat Cabang.

Bagaimanapun, nama besar lain seperti Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memperoleh kemenangan apabila masing-masing mengekalkan jawatan Ketua Cabang Pandan dan Ketua Cabang Gombak.

Anak Anwar, Nurul Izzah Anwar dan beberapa setiausaha politiknya iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Datuk Ahmad Farhan Fauzi serta Muhammad Kamil Abdul Munim juga berjaya memenangai jawatan Ketua Cabang di kawasan ditandingi.

Mengulas mengenai keputusan ini, penganalisis politik, Mujibu Abd. Muis berkata, kekalahan pemimpin yang memegang jawatan penting dalam kerajaan, membuktikkan PKR parti yang terbuka dan jawatan tidak menjamin kemenangan.

“Saya melihat barangkali faktor pemilihan di peringkat cabang ini kemungkinan akan memberi sedikit sebanyak perubahan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memandangkan cabaran di peringkat pimpinan tertinggi adalah berbeza.

“Ini kerana populariti di peringkat Cabang tidak semestinya mencerminkan di peringkat pusat, corak pemilihan dan mekanismenya juga berbeza.

“Mungkin ada gabungan-gabungan tertentu yang dibuat oleh kelompok dalam pemilihan parti akan memberikan keyakinan dan dinamik yang berbeza terutama bagi jawatan Naib Presiden,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mujibu berkata, perubahan kepemimpinan PKR itu disebabkan senario parti yang sudah berubah.

“Pemilihan terdahulu setting itu berbeza kerana Presiden, Timbalan Presiden PKR belum memegang sebarang jawatan kerajaan dan pada ketika itu PKR juga baharu kehilangan kuasa di peringkat pusat. Jadi pemilihan ketika itu lebih untuk mengemas parti.

“Tetapi, pemilihan kali ini berbeza kerana semua mereka yang bertanding mempunyai jawatan di dalam kerajaan. Setting kali ini lebih kepada barisan pemimpin untuk memberi mandat bagi meneruskan dasar.

“Pada masa sama, mungkin juga untuk menjadi barisan kepimpinan generasi baharu memandangkan Anwar tidak akan lagi menjadi Presiden PKR selepas penggal seterusnya berakhir,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN