PETALING JAYA: PAS menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai satu isyarat jelas penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan, keputusan yang dicapai mencerminkan beberapa hakikat penting yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
Katanya, keyakinan Menteri Besar Perak bahawa akan berlaku gelombang besar pemindahan undi sehingga majoriti 18,000 undi ternyata meleset apabila Perikatan Nasional (PN) kekal memperoleh sokongan teras sekitar 5,000 hingga 6,000 undi.
“PRK ini membuktikan tiada perpindahan undi besar-besaran daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) kepada BN.
“Kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina turut memperlihatkan mesej penolakan yang jelas terhadap kerjasama politik PH-BN,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
PRK Ayer Kuning menyaksikan Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54 menang dengan majoriti 5,006 undi.
Beliau memperoleh 11,065 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek (6,059 undi) manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS hanya meraih 1,106 undi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahrudddin menang dengan majoriti 2,213 undi apabila mendapat 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru mengatasi calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanah Air (105) dan PSM (586).
PRK Ayer Kuning menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 58 peratus daripada jumlah 31,281 pengundi berdaftar, tidak mencapai sasaran 70 peratus ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut Mohamed Sukri, meskipun BN menang di Ayer Kuning, ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO.
Namun, beliau berkata, majoriti undi yang mengecil adalah peringatan keras bahawa keyakinan rakyat terhadap BN semakin menipis.
Jelasnya, keputusan PRK kali ini juga membuktikan bahawa kekuatan akar umbi PN kekal utuh walaupun diasak hebat dengan kekuatan jentera kerajaan di peringkat negeri dan pusat.
“Sejarah telah membuktikan bahawa sebarang penurunan sokongan terhadap parti pemerintah dalam PRK adalah tanda awal perubahan arus politik yang tidak boleh dipandang ringan.
“Ia memberi isyarat bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin luntur dan jika tidak ditangani dengan segera, boleh membawa kepada perubahan landskap politik dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN