PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenal pasti saki-baki individu yang berperanan sebagai pemaklum sijil lahir dan memanipulasi dokumen palsu.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan tangkapan bakal dibuat dari semasa ke semasa.
Katanya, JPN menyeru mana-mana pihak yang pernah terlibat dalam aktiviti mendapatkan sijil kelahiran tidak teratur sebelum ini sama ada pemaklum atau orang tengah agar tampil ke JPN dengan segera bagi membantu siasatan.
“Tangkapan dilakukan dalam Op Tumpang Fasa 1 dan 2 adalah sebahagian daripada 87 senarai yang telah dikenal pasti oleh JPN dan SPRM sebelum ini.
“Kita percaya akan ada tangkapan susulan selepas ini termasuk individu yang akan hadir untuk menyerah diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan tipu daya sindiket dan tidak menyalahgunakan data peribadi bagi mendapatkan imbuhan daripada pihak sindiket.
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPN khususnya dalam permohonan pengangkatan (anak angkat).
“JPN akan terus komited dalam memastikan integriti serta ketulenan dokumen pengenalan diri negara kekal terpelihara tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Selasa lalu, media melaporkan JPN menahan 10 individu termasuk enam wanita berusia 30 hingga 44 tahun menerusi Op Tumpang 2.0 dijalankan di seluruh negara.
Siasatan mendapati terdapat individu yang sanggup menjadi ‘ibu tumpang’ dengan mendaftarkan nama sebagai ibu kandung kepada bayi yang baru dilahirkan selepas dibayar imbuhan antara RM200 sehingga RM3,000 bagi setiap permohonan sijil kelahiran oleh sindiket.
Selain itu, ada antara wanita terbabit dipercayai turut menerima bayaran tetap daripada sindiket pemalsuan sijil kelahiran bayi dan melakukan perbuatan itu secara berulang.
Lelaki yang ditahan turut mendakwa menggunakan nama sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing. – UTUSAN