KUALA LUMPUR: Seramai 506 warga asing ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di Medan Imbi di sini, malam tadi.
Serbuan bermula pukul 7.30 petang itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Utusan Malaysia yang mengikuti operasi berkenaan mendapati, setiap blok yang usang dan kotor itu menempatkan unit kediaman yang disewa warga asing dengan harga sekitar RM600 setiap bilik.
Ketika serbuan, terdapat beberapa cubaan warga asing melarikan diri termasuk bersembunyi atas bumbung dan menyamar sebagai pelanggan kedai, malah ada antara mereka cedera ketika melarikan diri.
Difahamkan, ada antara warga asing yang dicekup cuba menyogok anggota penguat kuasa, namun perbuatan itu tidak diendahkan.
Bukan itu sahaja, serbuan di salah sebuah premis kedai yang disyaki berselindung dengan menggunakan nama kafe mengesan aktiviti perjudian dalam talian.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 895 individu diperiksa terdiri daripada 749 warga asing dan 146 warga tempatan.
Katanya, seramai 506 individu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 dan dibawa ke Depoh Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut bagi pengesahan dokumen pengenalan diri.
“Tangkapan terdiri daripada pelbagai negara, dengan jumlah paling ramai dikesan dari Bangladesh (165), diikuti Nepal (142) dan Indonesia (109). Beberapa tangkapan turut membabitkan warga India dan Sri Lanka.
“Kita percaya mereka bekerja di tempat lain dan menyewa bilik di sini,” katanya ketika ditemui.
Zakaria berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan penyalahgunaan pas lawatan kerja.
“Ada yang memiliki pas lawatan kerja dikeluarkan di Johor, tetapi berada di ibu negara tanpa justifikasi munasabah. Malah ada yang menetap di sini selepas pas mereka tamat tempoh.
“Kita juga kesan warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf di negara ini. Mereka semua akan disiasat secara menyeluruh bagi menentukan status sebenar,” katanya.
Tambah Zakaria, pihaknya mendapati, mereka tinggal dalam keadaan yang daif dan sesak dalam kalangan warga asing di kawasan itu.
“Pemeriksaan mendapati lima hingga enam orang tinggal dalam satu bilik kecil dan sebuah unit rumah diubah suai menjadi ruang sewaan sempit dengan penyewa mencecah 30 orang.
“Operasi malam tadi tertumpu kepada enam blok rumah kedai empat tingkat yang dijadikan tempat tinggal warga asing dan difahamkan ada yang menyewa dengan kadar RM600 sebulan untuk sebuah bilik kecil yang dikongsi,” katanya.
Zakaria berkata, bermula Januari hingga 16 April lalu, sebanyak 3,870 operasi dilaksanakan di seluruh negara.
“Seramai 52,318 individu diperiksa sepanjang tempoh itu, manakala tangkapan terhadap majikan mencecah 491 orang kerana menggaji pendatang tanpa izin.
“Dalam tempoh sama, 22,486 pendatang asing ditahan dan daripada jumlah itu 13,677 tangkapan dibuat secara langsung oleh Jabatan Imigresen manakala 8,809 orang lagi diserahkan oleh agensi lain,” katanya. – UTUSAN