PETALING JAYA: Status Malaysia sebagai negara pengeksport gas asli cecair (LNG) dijangka berubah kepada negara pengimport LNG dalam jangka masa 10 hingga ke 20 tahun akan datang.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, dunia mengenali Malaysia sebagai pemain utama dalam industri LNG sebagai pengeksport kelima terbesar global.
Bagaimanapun, katanya, realitinya rizab gas asli negara sedang berkurang dengan pantas khususnya di Semenanjung Malaysia iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tujuh peratus dan empat peratus di Sabah.
Tambahnya, hanya Sarawak mengekalkan bekalan yang stabil, menyumbang 59 peratus daripada jumlah rizab negara.
“Berdasarkan corak penggunaan semasa dan unjuran rizab, dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang, Malaysia bakal berubah daripada pengeksport bersih kepada pengimport bersih LNG.
“Unjuran juga menunjukkan gas asli akan menyumbang sebanyak 56 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2050. Ia memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga dan pembangunan industri negara.
“Ini menjadikan gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, tetapi destinasi bahan api untuk Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, timbul persoalan bagaimana Malaysia mampu menyelesaikan ketidakseimbangan antara permintaan dan bekalan gas asli negara.
Justeru, katanya dalam Simposium Gas Malaysia yang diadakan baru-baru ini, kementeriannya mengumumkan Pelan Hala Tuju Gas Asli Kebangsaan yang akan dilancarkan tahun ini.
“Kita sedang mengambil beberapa langkah penting untuk mengurangkan halangan kepada akses pihak ketiga, mengukuhkan infrastruktur LNG negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab gas asli utama Asean,” katanya.
Radizi berkata, Pelan Hala Tuju Gas Asli Kebangsaan amat bertepatan dengan masa sekarang kerana Asean secara kolektif bakal menjadi pengimport bersih LNG menjelang 2027.
Katanya, Malaysia perlu segera memperbaharui kedudukan globalnya dalam landskap tenaga serantau yang sedang berubah ini.
“Cabaran ini besar namun saya percaya kedudukan geografi kita, sikap berkecuali dan kekuatan infrastruktur yang ada meletakkan Malaysia sebagai pesaing awal untuk mempamerkan kepimpinan dalam sektor ini,” katanya. – UTUSAN