Ambil tahu, belajar daripada bencana di Nepal

Ambil tahu, belajar daripada bencana di Nepal

KITA mungkin tidak mampu mengawal perubahan iklim tetapi boleh mengurangkan pendedahan dan memperlahankan pertambahan risiko akibat bencana alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Perangkaan merekodkan 228 kejadian bencana kecil pada 2024, meningkat daripada 170 pada tahun sebelumnya, merangkumi antara lain banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami risikonya. Tanah runtuh di Batang Kali pada 2022, misalnya, meragut 31 nyawa selepas hujan berterusan. Siasatan kerajaan mendapati hujan lebat merupakan faktor utama kegagalan cerun tersebut.

Persoalannya bukan sama ada Malaysia akan mengalami ‘bencana Nepal’ tetapi sama ada kita memahami bagaimana risiko terbentuk di tempat kita sendiri.

Di Malaysia, kawasan tadahan, hutan, bukit, sungai, kawasan rendah dan penempatan saling berkait. Apabila hujan turun di kawasan hulu, air tidak berhenti di situ. Ia bergerak mengikut cerun, masuk ke anak sungai, sungai utama dan sistem saliran sebelum sampai ke kawasan yang lebih rendah. Jika pada masa sama berlaku kegagalan cerun atau kapasiti saliran tidak mampu menampung aliran, kesannya boleh menjadi jauh lebih besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menyatakan hujan sangat lebat berterusan melebihi 250 milimeter dalam tempoh 24 jam berpotensi menyebabkan banjir besar di kawasan rendah dan berhampiran sungai serta tanah runtuh di kawasan cerun.

Risikonya bukan hanya di kawasan bukit. Malaysia mempunyai garis pantai melebihi 8,840 kilometer, dengan banyak penempatan, infrastruktur dan aktiviti ekonomi berhampiran kawasan pesisir. Kerajaan mengakui perubahan iklim, kenaikan paras laut, ombak besar dan ribut monsun meningkatkan cabaran hakisan pantai.

Malah, analisis Bank Dunia mengunjurkan menjelang 2050, kesan banjir sungai terhadap penduduk dan kawasan binaan Malaysia boleh meningkat masing-masing sekitar 17 dan 12 peratus berbanding garis asas, manakala kesan banjir pesisir boleh meningkat lebih besar, sekitar 40 peratus terhadap penduduk dan 29 peratus terhadap kawasan binaan.

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Kita mungkin tidak mampu menghentikan hujan lebat atau mengawal perubahan iklim seorang diri tetapi boleh mengurangkan pendedahan dan memperlahankan pertambahan risiko.

Masyarakat perlu mengambil serius amaran cuaca, terutama apabila melibatkan hujan berterusan dengan mengetahui laluan keluar dan kawasan tinggi berhampiran rumah, tidak meredah jalan atau sungai ketika arus deras serta melaporkan segera tanda-tanda seperti rekahan tanah, pokok atau tiang yang mula condong, aliran air yang berubah dan retakan pada struktur berhampiran cerun.

Perlindungan kawasan tadahan, hutan dan saliran tidak boleh dilihat sebagai isu alam sekitar semata-mata. Ia adalah sebahagian daripada keselamatan komuniti. Perancangan pembangunan juga perlu mengambil kira bukan sahaja keadaan kawasan ketika cuaca biasa tetapi bagaimana kawasan tersebut akan bertindak balas apabila berdepan hujan yang luar biasa.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan impak perubahan iklim seperti banjir boleh mengancam kesejahteraan penduduk dan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) sedang dibangunkan untuk menangani antara lain banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai serta kemarau.

Kita tidak perlu menunggu bencana sebesar Nepal untuk mula mengambil iktibar. Nepal bukan ramalan tentang apa yang akan berlaku kepada Malaysia tetapi peringatan supaya kita lebih mengenali risiko yang sudah pun wujud di halaman sendiri.

SITI FATIMAH MOHD. NOOR
Jabatan Sains dan Matematik,
Pusat Pengajian Diploma,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini