GEORGE TOWN : Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sinonim dengan gelaran Pak Lah akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang penyayang dan prihatin.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pemergian Perdana Menteri ke-5 itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya rakyat Pulau Pinang kerana beliau merupakan anak jati negeri itu yang pertama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Saya amat sedih dengan pemergian Abdullah. Saya mengenali beliau sejak 1982 iaitu ketika pertama kali bertemu dalam satu perjumpaan calon-calon Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU).
“Ketika itu, saya masih baharu dalam dunia politik. Pak Lah telah menunjukkan sikap mesra dan terbuka. Ia (sikap sedemikian) memberi kesan mendalam terhadap saya,” katanya di sini, hari ini.
Tsu Koon yang juga bekas Presiden Parti Gerakan berkata, Abdullah turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu berkaitan pendidikan Cina semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan tidak lama selepas pilihan raya 1982.
“Beliau seorang yang terbuka dan responsif terhadap pandangan rakyat termasuk dalam isu-isu pendidikan. Sifat ini menjadikan beliau dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Tsu Koon turut berkongsi kenangan peribadi menyentuh hati bersama Abdullah termasuk satu peristiwa pada tahun 1987 ketika beliau ternampak Pak Lah dan isterinya ketika itu iaitu Allahyarhamah Tun Endon Mahmood menunggu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Saya sendiri memandu mereka pulang ke rumah di Kepala Batas. Itulah sikap rendah diri yang dimiliki oleh beliau,” katanya.
Jelas Tsu Koon, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2003, Abdullah terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan Pulau Pinang apabila meluluskan beberapa projek besar seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, NCER, Bandar Cassia serta sistem bas transit Pulau Pinang.
“Pada tahun 2003, Abdullah mengetuai lawatan ke Beijing dan Xiamen (di China). Atas cadangan saya, beliau turut melawat Universiti Xiamen dan meletakkan asas kepada penubuhan Universiti Xiamen Malaysia,” katanya yang memuji usaha beliau dalam mempromosikan Malaysia di pentas antarabangsa.
Tambah beliau, selepas Pak Lah bersara pada 2009, hubungan mereka tetap rapat dan beliau sering menziarahi bekas Perdana Menteri itu terutamanya selepas kesihatan pemimpin tersebut mulai merosot.
“Abdullah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang berhati mulia dan pemurah. Saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Allahyarham,” katanya. – UTUSAN