Kerajaan kini lebih inklusif tangani krisis, berbeza era Muhyiddin

Kerajaan kini lebih inklusif tangani krisis, berbeza era Muhyiddin

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pendekatan kerajaan dalam menangani cabaran semasa khususnya krisis ekonomi global lebih menyeluruh dan bersepadu berbanding pentadbiran terdahulu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perbezaan itu ketara apabila kerajaan kini mengamalkan kaedah penyelarasan dasar secara lebih inklusif dengan melibatkan semua kerajaan negeri melalui mesyuarat yang diadakan secara konsisten.

Menurut beliau, pendekatan itu berbeza dengan situasi pada fasa awal penularan Covid-19, di mana tiada mesyuarat yang menghimpunkan keseluruhan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan langkah menyeluruh.

“Sekarang ini kerajaan setiap minggu mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan minggu lalu, mesyuarat yang melibatkan ketua-ketua menteri dan menteri besar di seluruh negara.

“Ini beza dengan pendekatan Muhyiddin dulu, dia buat mesyuarat mula-mula Covid-19 tak pernah panggil semua pemimpin negeri tapi hari ini kita tunjuk sikap yang berbeza,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Perpaduan Raya Segayong di Gurun Jaya. 

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan mengulas kenyataan Muhyiddin yang menggesa kerajaan bertindak lebih pantas dan tegas dalam menangani kesan krisis global susulan pergolakan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada ekonomi serta kos sara hidup rakyat.

Muhammad Kamil berkata, kerajaan tidak bersikap sambil lewa dalam menghadapi krisis semasa apatah lagi Perdana Menteri sendiri telah memberi peringatan lebih awal kepada rakyat mengenai kemungkinan tekanan ekonomi global.

Katanya, peringatan tersebut telah disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Ramadan lalu, meskipun pada ketika itu terdapat pihak yang memperlekehkan amaran berkenaan.

“Sejak awal Perdana Menteri mengingatkan supaya rakyat bersedia dan sentiasa berwaspada. Malah dalam pengumuman terbaharu, perkara sama sekali lagi ditegaskan. Ada yang melihat keadaan seolah-olah ‘business as usual’, namun hakikatnya krisis ini sedang berlaku di seluruh dunia, termasuk negara jiran,” katanya.

Tambahnya, keadaan yang dilihat stabil ketika ini bukan bermakna negara tidak terkesan, sebaliknya hasil pengurusan kewangan yang berdisiplin serta langkah penstrukturan subsidi yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, usaha penjimatan perbelanjaan, penguatkuasaan undang-undang serta kawalan terhadap kebocoran dan ketirisan turut memainkan peranan penting dalam memastikan impak krisis dapat diminimumkan.

“Disebabkan itu rakyat rasa seolah-olah tiada apa yang berlaku kerana kerajaan masih mampu menampung kenaikan kos, khususnya melibatkan harga minyak. Namun, jika tekanan kos terus meningkat, kerajaan perlu bersikap realistik dengan melakukan penyesuaian dasar selaras dengan perkembangan ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN