SUNGAI PETANI: Gesaan Datuk Seri Rafizi Ramli agar PKR memecatnya segera jika dianggap melanggar perlembagaan parti merupakan proses songsang yang cuba dimanipulasi bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, parti melalui Lembaga Disiplin melakukan aturan biasa setiap kali menerima aduan terhadap mana-mana anggota mahupun pimpinan.
“Tak apa kita ikut proses lah, parti ini kalau pakai macam disebut itu kerja songsang, apa yang dilakukan oleh parti hari ini adalah bila ada aduan, kemudian ada tindakan dan adalah susulannya seperti surat tunjuk sebab dan sebagainya.
“Itu sebahagian daripada proses. Jadi, kita ikutlah kepada proses ini dan sebarang keputusan kemudian akan dibuat Jawatankuasa Disiplin ataupun dalam Majlis Pimpinan Pusat.
“Jadi, (Rafizi) jangan terdesak sangatlah untuk memanipulasikan proses ini seolah-olah kita ambil pendirian yang songsang. Tak betul begitu, tapi ini sebahagian daripada proses,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Perpaduan Raya Segayong di Gurun Jaya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditanya kenyataan Rafizi yang meminta Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan tegas dan segera berhubung kedudukannya dalam parti kerana rakyat sudah ‘mual’ dengan kemelut berkenaan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sekiranya penjelasan beliau dikira telah melanggar perlembagaan parti, PKR perlu menjadi sebuah parti yang normal dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang dilakukan kepada anggota-anggota lain sebelum ini.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut mengingatkan Rafizi agar tidak mempolitikkan solat Jumaat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pandan, kelmarin.
Beliau berkata, menjadi rutin Perdana Menteri untuk menunaikan solat Jumaat di Putrajaya atau kawasan berhampiran di negeri Selangor seperti dilakukan di Bangi, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Selayang dan Ampang.
“Apa salahnya singgah solat di Pandan, kenapa harus politik pasal solat Jumaat Perdana Menteri. Sepatutnya sebagai pemimpin atau ahli Parlimen kawasan itu dia patut sambut dan terima kehadiran Perdana Menteri dengan tangan terbuka.
“Itu memang amalan yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Sebelum ini beliau pergi sembahyang tempat lain, tak ada pun orang bising dan kenapa tiba-tiba pergi sembahyang di Pandan nak bising pula,” katanya.
Rafizi mendakwa, kehadiran Anwar ke kawasan Parlimennya sebagai isyarat politik yang jelas bahawa parti itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK). – UTUSAN










