KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak menolak Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sepenuhnya, sebaliknya sedia untuk berunding semula undang-undang tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, proses rundingan semula akta tersebut giat dilaksanakan ketika ini.
“Kelantan tidak pernah tolak (Akta 672) sejak pentadbiran Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kita hampir tandatangani perjanjian ini.
“Bahkan, syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. telah masuk dan melakukan pra-operasi pembersihan dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hilmi berkata, kerajaan negeri memilih menangguhkan perkara tersebut buat sementara waktu kerana memerlukan rundingan semula.
Katanya, ini kerana kerajaan negeri khuatir pihak berkuasa tempatan (PBT) akan kehilangan kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) disebabkan faktor politik.
“Jika diterima Akta 672, kerajaan negeri perlu memberi kuasa eksekutif kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Walaupun satu klausa, tapi implikasinya kepada negeri berdaulat amat besar. Walaupun sampah tetapi sampah itu ‘berdaulat’ dengan erti kata lain kedaulatan PBT.
“Bila serah, kuasa PBT akan terhakis kerana konsesi ini berada di bawah seliaan kerajaan pusat. Sebelum ini, kita yang berhormat (YB) telefon utarakan masalah sampah, PBT boleh terus ambil tindakan. Jadi selepas ini dibimbangi ia menjadi sukar,” ujarnya.
Beliau berkata, mengikut rekod persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) Ke-14/2014, kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju menerima pakai Akta 672, namun tertakluk kepada perjanjian dengan kerajaan pusat.
Katanya, difahamkan negeri yang turut menolak Akta 672 iaitu Terengganu, Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Labuan sedia berunding semula berikutan kos pengurusan sampah yang kian meningkat. – UTUSAN