SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang menjalankan siasatan dan memantau seorang anggotanya yang dikesan membuat hantaran jelik di media sosial setakat bulan April tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, pada tahun ini satu kes dalam pemantauan yang mana siasatan diuruskan oleh Cawangan Integriti JKDM mengikut sistem operasi standard (SOP) dalaman.
“Dalam perkhidmatan awam memang ada pekeliling (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993) yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita tertaktuk kepada perintah am dan pekeliling tersebut.
“Kes dalam siasatan dan tidak semestinya (anggota) bersalah. Apa-apa aduan atau isu akan disiasat oleh Cawangan Intergriti JKDM dan dipantau oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) supaya ada proses semak dan seimbang,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Senawang di sini hari ini.
Beliau sebelum itu hadir pada Program Ramah Mesra dan Simpulan Kasih JKDM Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah.
Jelas Anis Rizana, pendedahan berkaitan isu salah laku dan tatatertib juga akan diteruskan bagi memberi kesedaran kepada anggota JKDM tentang isu tersebut.
“Selama ini kita beri pendedahan, kadang mereka lupa atau tidak mendapat maklumat lengkap atau secukupnya tentang garis panduan atau arahan semasa dari kerajaan.
“Mereka tidak sedar dan sudah jadi budaya sehinggakan tidak perasan dan tidak tahu apa yang dilakukan itu (hantaran jelik) sebenarnya salah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anis Rizana memberitahu, terdapat keperluan daripada JKDM supaya tujuh mesin pengimbas kargo baharu yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat disediakan segera bagi mencegah ketirisan hasil dalam kontena di pelabuhan utama negara.
“Permohonan mendapatkan aset berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sejak 2023 dan kini masih di peringkat perolehan.
“Memang ada keperluan untuk menambah mesin pengimbas kargo yang lebih terkini, canggih dilengkapi teknologi AI, kita minta tujuh iaitu empat akan ditempatkan di Pelabuhan Klang, dua di Pulau Pinang dan satu pengimbas kargo di Johor,” katanya. – UTUSAN