Rakyat Indonesia guna bendera lanun simbol bantahan kerajaan Prabowo - Utusan Malaysia

Rakyat Indonesia guna bendera lanun simbol bantahan kerajaan Prabowo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia kini berusaha membendung penyebaran bendera ‘lanun’ yang digunakan sebagai bentuk bantahan politik menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-80 negara itu pada 17 Ogos.

Bendera tersebut dikenali sebagai ‘Jolly Roger’, menampilkan simbol tengkorak dan tulang bersilang memakai topi jerami dari siri animasi popular Jepun, One Piece semakin banyak dikibarkan pada trak, kereta, dan juga di hadapan rumah kediaman.

Pihak berkuasa menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk provokasi politik, dipercayai disasarkan terhadap dasar-dasar Presiden Prabowo Subianto.

“Saya kibarkan bendera ‘One Piece’ kerana bagi saya, bendera merah putih (rasmi Indonesia) terlalu suci untuk dikibarkan di negara yang korup ini,” kata seorang pelajar universiti dari Riau, Khariq Anhar, 24, kepada agensi berita AFP.

“Saya percaya kepada kebebasan bersuara, tetapi ia kini semakin terhad. Jika kerajaan tidak gentar menindas rakyat, kami juga tidak harus gentar untuk menyuarakan bantahan,” tambahnya.

Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan Indonesia, Budi Gunawan, dalam kenyataan minggu lalu menggesa rakyat agar tidak mengibarkan simbol yang “tidak relevan dengan perjuangan negara”.

Kerajaan juga memberi amaran bahawa pengibaran bendera bukan rasmi bersebelahan dengan bendera negara akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuk kemungkinan larangan semasa sambutan Hari Kemerdekaan akan datang.

Menurut undang-undang sedia ada, mana-mana tindakan yang menghina atau mencemarkan martabat bendera Indonesia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda hampir AS$31,000.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, menjelaskan Presiden Prabowo tidak mempunyai masalah dengan ‘ekspresi kreativiti’. Namun, beliau menegaskan bendera asing tidak wajar dikibarkan bersebelahan bendera kebangsaan kerana boleh menimbulkan perbandingan yang tidak sesuai.

Beberapa penganalisis berpandangan fenomena ini adalah manifestasi ketidakpuasan rakyat terhadap kepimpinan semasa, terutamanya berkaitan dasar ekonomi dan pertahanan yang menimbulkan kebimbangan mengenai arah tuju demokrasi negara itu.

“Pengibaran bendera ‘One Piece’ adalah bentuk kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan,” kata Usman Hamid, Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia.

Beliau menegaskan bahawa tindakan protes simbolik seperti ini perlu dilihat dalam kerangka demokrasi, bukan sebagai jenayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN