TAWAU: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine lebih dua kilogram di kawasan Rastamas Foodcourt, Jalan Pelabuhan di sini pada 25 Julai lalu.
Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Milpan Acho, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohd. Afiz Huzairi Ayob.
Tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya itu pada pukul 9.30 pagi di Rastamas Foofcourt dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1Xa) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-sekurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes manakala pendakwaan dikendalikan oleh Asisten Superitendan Nur Intan Jamrin, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 25 Julai lalu, tertuduh berjaya diberkas pihak berkuasa polis apabila cuba membawa masuk dadah jenis syabu bernilai RM74,500 dari negara asalnya ke negara ini melalui Tawau, Sabah.
Dalam pemeriksaan yang dilakukan ke atas tertuduh, polis menemukan dadah dalam bungkusan bertulis Guanyinwang dan Freeze Dried Durian dalam beg galas yang dipegangnya.
Tertuduh ketika itu disyaki bertindak sebagai penghantar dadah yang diarahkan oleh pihak tertentu di negara jiran dan dijanjikan bayaran sekitar RM3,000 bagi tugasan tersebut. – UTUSAN









