Bendera terbalik: Pemimpin parti kerajaan hentikan perang mulut

Bendera terbalik: Pemimpin parti kerajaan hentikan perang mulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang mulut antara pemimpin parti kerajaan perpaduan berhubung isu bendera Malaysia dipasang terbalik perlu dihentikan segera bagi mengelakkan perbahasan politik terus menyimpang daripada isu sebenar.

Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, pertikaian itu kini berubah menjadi medan maki-hamun dengan penggunaan gelaran tidak beradab seperti ‘OKU’ dan ‘anjing liar. 

Menurut beliau, isu berkenaan sepatutnya dibincangkan secara matang dengan menumpukan kepada dasar serta polisi, bukannya serangan peribadi yang merendahkan martabat politik negara.

“Perkara ini perlu diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa. Malangnya, ia kini menjadi bahan sensasi dan emosi sehingga hilang fokus,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau menegaskan, tindakan berbalas kenyataan secara kasar hanya menyebabkan isu pokok tenggelam selain mencetuskan persepsi negatif terhadap semua pihak yang terlibat.

Kontroversi itu tercetus selepas bendera negara dipasang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson, yang kemudian dikaitkan dengan pekerja orang kurang upaya (OKU) di sekolah berkenaan.

Sheikh Omar turut mengingatkan agar semua pihak menghentikan sengketa tersebut demi mengembalikan tumpuan kepada isu rakyat dan mengelakkan landskap politik negara daripada terus tercemar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×