KUALA SELANGOR: Isu kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak wajar diperbesarkan, sebaliknya boleh diberi ruang untuk diperbetulkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu perlu dilihat secara berlapang dada kerana ia mungkin berlaku tanpa disengajakan.
“Saya yakin mereka sebenarnya mahu menunjukkan semangat patriotisme. Namun, jika berlaku kesilapan, kita harus beri peluang untuk diperbetulkan kerana manusia itu tidak lari daripada kesilapan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian, Johor yang menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat.
Siasatan awal mendapati pemasangan bendera dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati simbol kebangsaan itu.
Ia sebaliknya berpunca kecuaian pihak yang memasangnya dan pihak premis tampil memberi kerjasama penuh dengan tindakan segera diambil bagi membetulkan kedudukan bendera itu
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (mencegah pengunaan tidak wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956.
Dzulkefly berkata, semangat mengibarkan Jalur Gemilang perlu datang daripada hati yang ikhlas demi mengangkat martabat negara.
“Paling pentinghati kita ikhlas, jujur dan penuh semangat cinta kepada tanah air. Kalau ada kesilapan kecil, janganlah terus menghukum. Berilah keringanan kerana kita semua mahu mengibarkan bendera dengan semangat kebersamaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan kolesterol tinggi kini menjadi punca utama kematian pramatang di negara ini.
“Empat penyakit itu menjadi faktor risiko utama kepada serangan jantung, strok, kanser dan penyakit paru-paru kronik yang meragut nyawa lebih awal daripada sepatutnya.
“Masalah NCD amat serius kerana ia bukan saja menjejaskan kesihatan rakyat, malah memberi kesan besar kepada produktiviti negara,” katanya. – UTUSAN










