PORT DICKSON: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (penggunaan tidak wajar), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Menurutnya, kira-kira pukul 10.01 malam semalam, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun berkenaan isu pemasangan bendera Jalur Gemilang dipasang terbalik.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 1 Ogos lalu kira-kira pukul 11.08 pagi di sebuah sekolah jenis kebangsaan di sini semasa pemasangan Jalur Gemilang sempena kempen bulan kemerdekaan.
“Pihak polis telah mengenal pasti individu terlibat iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan bendera tersebut juga telah diturunkan semula pada hari kejadian.
“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya,” katanya hari ini.
Semalam, media melaporkan pihak SJKC Chung Hu membuat memohon maaf maaf susulan insiden berkenaan.-UTUSAN










