‘Kami doa pendakwa raya tak buat rayuan’

‘Kami doa pendakwa raya tak buat rayuan’

EDA EZRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keluarga kepada Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin terus berdoa semoga pendakwa raya tidak kemukakan rayuan bersabit keputusan mahkamah membebaskan penyanyi Bea Sobar Bea itu, suaminya dan empat rakan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Bapanya, Wan Ismail Wan Yusoff berkata, dia dan keluarga berharap Eda Ezrin dibebaskan selepas permohonan rayuan ka­li pertama yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya pada 2 April lalu tamat 6 Mei ini.

“Setiap malam saya dan keluarga solat hajat memohon Eda Ezrin diberi pembebasan penuh selepas mahkamah memutuskan dia tidak bersalah atas tuduhan memiliki pil kuda.

“Cuma mengikut laporan be­rita dari Thailand, kemungkinan besar Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan 7 Mei ini jika pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan untuk kali kedua,” katanya ketika dihubungi di sini.

Wan Ismail berkata, buat masa ini dia dan keluarga belum dapat maklumat tepat bila Eda Ezrin akan dibebaskan.

“Insya-Allah, Khamis ini ibu dan adiknya akan melawat Eda Ezrin. Mungkin kami dapat maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini,” ujarnya.

Eda Ezrin dan suami serta empat rakannya dilapor dijangka bebas sepenuhnya daripada Penjara Wilayah Narathiwat pa­da 7 Mei ini.

Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Narathiwat berkata, setakat ini pihaknya belum terima permohonan Pendakwa Raya Wilayah terhadap keputusan mahkamah membebaskan Eda Ezrin, suami dan empat rakannya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan penyanyi Eda Ezrin  bersama suami dan empat lagi rakan mereka terpaksa tinggal dipenjara sebulan lagi.

Ia selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat memberi kebenaran kepada Pendakwa Raya Wilayah untuk melanjutkan tempoh mengemukakan permohonan rayuan berhubung pembebasan enam rakyat Malaysia itu pada 2 April lalu.

Terdahulu, 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat melepas dan membebaskan Eda Ezrin daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada November tahun lalu.

Selain Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, dan empat lagi rakan  mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdieka Mohd. Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, yang berdepan tuduhan sama turut dibebaskan.

Bagi pertuduhan mengambil dadah, semua tertuduh dikenakan dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Kesemua tuduh tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Keputusan itu dibuat oleh panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada bulan lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN