KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat tiba di Masjid Negara kira-kira pukul 8.15 pagi, hari ini diiringi kawalan keselamatan pasukan polis dan tentera.
Jenazah Perdana Menteri Kelima itu akan dimandikan sebelum diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang awam di Dewan Solat Utama, Masjid Negara pada pukul 11 pagi hingga 1 petang.
Kemudian, jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Pada masa sama, Allahyarham juga diberikan Istiadat Pengembumian negara oleh kerajaan pada urusan pengebumian.
Semalam, Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 petang akibat masalah pernafasan yang dialaminya. – UTUSAN