Empat ditahan dalam serbuan tiga premis loteri haram - Utusan Malaysia

Empat ditahan dalam serbuan tiga premis loteri haram

NOOR Hisam Nordin (tengah) menunjukkan wang tunai dan barangan yang dirampas dalam serbuan di premis loteri haram dalam sidang akhbar di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dan merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk penjualan loteri awam tanpa lesen dalam tiga serbuan berasingan di sini semalam.

Tangkapan terhadap suspek berusia 40 hingga 70 tahun itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil serbuan itu, beberapa peralatan dirampas termasuk mesin pencetak, dua set komputer, lima unit telefon bimbit, router, empat keping kad kredit, empat buku catitan, 10 keping slip loteri awam dan wang tunai RM110,119.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi di daerah ini sejak awal tahun 2020 dan kesemua suspek merupakan ejen judi yang terlibat secara langsung dengan penganjur.

“Ejen-ejen ini menjalankan kegiatan secara ‘mobile’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menggunakan rumah sebagai pusat pengiraan atau ‘counting center’ wang hasil loteri tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, tiga lokasi serbuan tersebut boleh menghasilkan kutipan sehingga RM5 juta sebulan.

Katanya, setiap ejen pula diberikan nilai kredit dalam ‘pool’ sebanyak RM4 juta setiap bulan oleh penganjur sebagai had pertaruhan loteri awam tanpa lesen.

“Kita juga telah mengenal pasti beberapa sub ejen, ejen dan penganjur sindiket yang bergiat aktif di Ipoh di mana usaha sedang dijalankan bagi menumpaskan mereka sepenuhnya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN