PETALING JAYA: Pelakon, Norish Karman mendakwa dirinya tidak menerima wang tunai berjumlah RM200,000 daripada seorang usahawan tempatan seperti yang pernah tular di media sosial, sebelum ini.
Menurut Norish, kehadirannya ke rumah ahli perniagaan tersebut untuk bekerja dan menjual produknya menerusi sesi siaran langsung.
“Kami datang bekerja. Apabila bekerja, kami mendapat pendapatan, mendapat gaji dan bayaran. Sesi siaran langsung itu adalah untuk jual sebanyak mana barang yang ada. Kemudian, daripada situ dapatlah bahagian kami. Saya rasa ahli perniagaan itu bukan orang bodoh
“Takkanlah dia mahu bagi saya macam RM200,000. Pastinya, takkanlah satu malam itu untuk dia bagi saya RM200,000. Mungkin dia kena dapatkan RM1 juta dulu baru boleh bagi jumlah begitu,” katanya.
Norish berkata demikian menerusi sebuah audio siar yang tular di platform Threads sekali gus meraih perhatian ramai.
Tambah pelakon drama Spa Q itu, dia juga tidak menerima wang tunai melebihi RM50,000 hanya kerana muncul beberapa jam menerusi sesi siaran langsung usahawan tersebut tempoh hari.
“Kami buat sesi siaran langsung itu dua tiga jam l saja. Itu pun macam main-main juga. Tidaklah dapat RM200,000, tidak juga dapat RM150,000, tidak juga dapat RM50,000,” jelasnya.
Sebagai seorang ibu, Norish mengakui dia juga mempunyai impian mahu menyediakan kehidupan lebih baik buat anak-anak, terutama apabila anak-anak semakin membesar dan memerlukan ruang yang lebih selesa.
“Saya tidak malu untuk membawa kereta saya yang sudah berbunyi dan rosak. Keluar masuk kereta, saya masih Norish Karman. Yang rosak kereta itu, bukan saya.
“Ramai ibu-ibu yang mencintai anak-anak mereka pastinya ingin berkendakkan sesuatu yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Saya juga ibu normal yang inginkan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak saya,” katanya.
Norish turut mengimbau detik sukar apabila keluarganya terpaksa berjalan kaki ke mana-mana ketika kenderaan rosak dan kos pengangkutan alternatif terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Ada masa kereta sangat rosak. Kami jalan kaki. Anak-anak jalan kaki. Ke mana saja kami pergi. Sebab apa? Grab mahal.
“Ketika itu saya pun tak sihat. Anak-anak tetap menolak saya guna kerusi roda. Mereka ambil giliran. Mereka anggap saya macam bayi mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon itu menafikan perkongsian tersebut bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya mahu memberi inspirasi bahawa kehidupan tetap perlu diteruskan walau dalam apa juga keadaan.
“Kami cerita bukan untuk menagih simpati. Kami cerita untuk memberi inspirasi. Bahawa hidup mesti diteruskan. Kereta rosak pun tak apa, kaki masih okey untuk berjalan,” katanya.
Sebelum ini, Norish pernah menyatakan hasratnya untuk menggunakan sebahagian wang bantuan yang diterima daripada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri untuk membeli sebiji kereta.
Dalam sebuah sesi audio siar yang lain, pelakon itu menyatakan dia mahu menggunakan sebahagian wang ringgit itu untuk melangsaikan hutang tertunggak dan membuat simpanan untuk masa depan demi anak-anak.










