PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak mencabar kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dalam Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana sedar sokongan akar umbi terhadap bekas Perdana Menteri itu masih kuat.
Bekas Setiausaha Sulit Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, sebaliknya Hamzah memilih untuk mengusahakan pelan peralihan parti dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden membolehkan beliau memangku jawatan Presiden, sekiranya Muhyiddin berundur.
Beliau berkata, gerakan itu dibuat dengan mempengaruhi ketua-ketua bahagian supaya mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan menerusi usaha mengumpul tandatangan.
“Lebih mudah mempengaruhi 120 ketua bahagian daripada meraih sokongan ribuan perwakilan di semua bahagian dalam pemilihan parti.
“Antara modal yang digunakan untuk mempengaruhi ketua bahagian Bersatu ialah dakwaan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyokong Hamzah untuk menjatuhkan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marzuki berkata, pemecatan Hamzah daripada Bersatu bukan disebabkan usaha menyatukan Melayu seperti didakwa, sebaliknya kerana menjadi punca perpecahan dalaman parti.
Katanya, pelantikan Hamzah sebagai antara pimpinan tertinggi sepatutnya hadir bersama tanggungjawab membantu Presiden.
Ujarnya, Hamzah sebaliknya menjalankan gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin selepas disahkan sebagai Timbalan Presiden.
“Tugas Timbalan Presiden dalam Perlembagaan Bersatu adalah membantu Presiden. Tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu Presiden, malah menjalankan gerakan menjatuhkan Presiden secara terang-terangan sebaik sahaja beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden.
“Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” katanya.
Marzuki berkata, Hamzah turut membawa naratif kononnya sedang mengusahakan kerjasama antara Bersatu, Pas dan UMNO bagi membentuk kerajaan, namun syarat yang diletakkan adalah Muhyiddin perlu disingkirkan terlebih dahulu.
“Saya semak dengan beberapa pemimpin kanan UMNO. Mereka kata ini karut. Tiada syarat sedemikian. Malah mereka beritahu saya UMNO tidak percaya kepada Hamzah,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan mengenai usaha membentuk kerajaan serta sokongan Pas, UMNO dan istana menjadi modal yang berkesan dalam kalangan sebahagian pemimpin Bersatu yang mahu kembali menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya.
“Inilah punca perpecahan dalam Bersatu. Tebuk atap tidak jadi, tetapi parti yang pecah.
“Hamzah menggunakan Pas, UMNO dan istana sebagai modal untuk memecahbelahkan parti. Tujuannya satu sahaja, supaya jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diserahkan kepadanya di atas dulang emas,” katanya. – UTUSAN










