PONTIAN: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang tiga hari lalu ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari, di sini ditemukan dalam selamat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khairul Anwar Ab. Ghani berkata, mangsa, Nathiah Selamat, 77, ditemukan pukul 10.50 pagi tadi.
Katanya, mangsa ditemukan penduduk kampung pada jarak 2.4 kilometer radius dari timur pos kawalan tempat kejadian (PKTK).
“Kita terima maklumat mengenai orang hilang kira-kira pukul 6 petang, Selasa lalu ketika warga emas itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sri Bunian pada pukul 11 pagi.
“Operasi mencari mangsa yang disambung semalam dan hari ini di sekitar kawasan kebun kelapa sawit itu dibuat dengan kehadiran Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mangsa berjaya ditemui,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khairul Anwar, mangsa dihantar ke Hospital Pontian bagi pemeriksaan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut melibatkan seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selain penduduk setempat,” katanya.










