Parti baharu dialu-alukan bertanding PRN - UMNO Johor

Parti baharu dialu-alukan bertanding PRN – UMNO Johor

johor
AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan daging korban kepada ketua ketua kampung mukim Benut di Kompleks Penghulu Mukim Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Mana-mana parti politik termasuk yang baharu ditubuh dialu-alukan untuk terlibat dan bertanding sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sesuai dengan amalan demokrasi di negara ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, perkara itu merupakan hak mana-mana parti politik mahupun mana-mana individu.

“Silakan, kita alu-alukan mana-mana parti baharu bertanding sebagai satu amalan demokrasi. Biarkan rakyat dan pengundi yang memilih dan menentukan siapa mewakili mereka dan menubuhkan kerajaan.

“Saya tidak berniat mengecilkan mana-mana parti-parti, namun realitinya kita melihat banyak parti baharu sukar untuk bertapak kukuh.

“Beberapa parti baharu sebelum ini juga dilihat tidak lagi menonjol berbanding sebelumnya kerana berdepan kesukaran untuk konsisten dalam menerima sokongan rakyat,” katanya selepas penyampaian daging korban bagi Mukim Benut di Kompleks Penghulu Mukim Benut, disini hari ini.

Pada 17 Mei lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parlimen dan keluar parti.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abd. Hamid Ali dilaporkan berkata pihaknya berhasrat untuk meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Tambah Timbalan Menteri Kerja Raya itu, perkara itu juga tidak menjadi fokus UMNO menjelang beberapa PRN serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“UMNO tidak akan mencampuri urusan parti-parti lain serta tidak menjadikan kelemahan pihak lain sebagai asas kekuatan dalam menghadapi landskap politik semasa. Sebaliknya kami terus kekal fokus mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

“UMNO kini memiliki kekuatan organisasi besar dengan kira-kira 22,000 cawangan di kesemua 191 bahagian dengan keahlian seramai kira-kira 3.6 juta orang di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN