KUALA LUMPUR: Mahligai perkahwinan pelakon, Edika Eusof dan isterinya, Nor Hidayah Yusri yang terbina lebih dua dekad bakal terlerai apabila keduanya bersetuju untuk bercerai pada 5 Mei ini.
Perkara itu disahkan Edika yang hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding kedua kes perceraian tersebut.
“Perbicaraan sudah selesai, isteri saya nekad bercerai. Jadi saya sedia melafazkan (talak), namun disebabkan dia sekarang ini tidak berada dalam keadaan suci, prosiding (cerai) itu akan dibawa ke 5 Mei ini.
“Saya ada minta agar libatkan nasihat pakar psikologi dalam prosiding ini. Tapi isteri menolak.
“Dia adalah punca kekuatan saya. Dia seorang isteri yang baik. Saya selalu pujuk dia, janganlah kita buat sesuatu yang pernah berlaku kepada ibu bapa kita sebelum ini, iaitu perceraian.
“Saya memang berharap kami dapat pertahankan rumah tangga ini. Tapi saya anggap ini takdir, apabila kita cuba macam mana sekalipun namun tak berjaya,” katanya yang ditemui selepas prosiding sebutan kedua kes cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, pagi tadi.
pada 24 Mac lalu peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim mengesahkan wanita itu sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya pada pertengahan Februari lalu.
Sementara itu, Nor Hidayah memaklumkan nekad meneruskan penceraian dan berharap dilepaskan secara baik.
“Ini bukan permohonan (cerai) pertama sebab sebelum ini pernah beberapa kali Edika lafaz cerai namun apabila diminta sahkan dimahkamah, dia nafikan.
“Jadi kali ini saya nekad untuk teruskan dengan perceraian ini dan tak ada masalah untuk kekal berkawan dengannya selepas cerai nanti,” ujarnya.
Untuk rekod, Edika dan Nor Hidayah bergelar suami isteri lebih 22 tahun lalu. Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20. -UTUSAN