PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggunakan sistem data raya bagi membolehkan segala laporan mengenai seseorang pelajar disimpan secara digital tanpa bergantung kepada kaedah lapuk.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, perkara itu susulan arahan terbaharu KPM yang mewajibkan sekolah menyediakan laporan disiplin dan mental bagi pelajar yang mahu berpindah.
Beliau berkata, arahan KPM untuk mewajibkan sekolah lama menyediakan laporan lengkap seseorang pelajar yang mahu berpindah ke sekolah baharu merupakan amalan biasa.
Bagaimanapun, katanya, sebelum ini amalan itu tidak diselaraskan sehingga ada sekolah mengambil keputusan sendiri untuk tidak menyediakannya apabila seseorang pelajar berpindah.
“Arahan KPM sangat baik dan NUTP menyokongnya tetapi sekarang ini zaman digital, kenapa tidak menggunakan sistem data raya sahaja. Ia lebih memudahkan pengurusan sekolah lama dan baharu untuk melihat semua laporan berkaitan pelajar.
“Ini tidak masih lagi dengan sistem fail yang sudah ketinggalan. Ia menyebabkan tugas guru bertambah untuk kumpulkan laporan kesihatan mental dan disiplin dan dihantar ke sekolah baharu.
“Perkara sebegini perlu dititikberatkan. Negara kita sudah masuk era digitalisasi tetapi kenapa KPM dengan jumlah pelajar yang besar masih menggunakan sistem lapuk lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, bermula tahun hadapan, semua pelajar yang bertukar sekolah mesti melampirkan laporan kesihatan termasuk keadaan mental serta laporan disiplin pelajar tersebut.
Ia merupakan antara garis panduan baharu yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan keselamatan sekolah, termasuk isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal bermula sesi persekolahan 2026.
Fouzi berkata, garis panduan dikeluarkan KPM hanyalah untuk menyeragamkan keperluan pihak sekolah menyediakan laporan kesihatan mental dan disiplin pelajar yang berpindah.
Katanya, laporan kesihatan mental pelajar tersebut terdiri daripada ujian psikometri yang perlu dijawab mereka melalui kaunselor di sekolah masing-masing.
“Mengenai isu disiplin pula, memang sudah ada sistem salah laku murid. Cumanya isu ini timbul apabila kadang-kandang apabila pelajar tukar sekolah fail laporan tidak diberikan. Jadi apabila arahan ini dikeluarkan maka SOP sudah diseragamkan,” katanya. – UTUSAN










