PETALING JAYA: Penggunaan aplikasi cari jodoh dalam talian boleh menjadi haram dan berdosa apabila diseleweng dengan penipuan, pergaulan tanpa batas serta tujuan yang bercanggah dengan syariat Islam, walaupun pada asalnya adalah harus di sisi agama.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, Islam tidak mengharamkan teknologi, namun keharusan itu terbatal apabila cara penggunaannya melanggar hukum dan prinsip agama, termasuk menipu identiti serta mempermainkan perasaan orang lain.
Menurutnya, penipuan dalam apa jua bentuk adalah haram dan berdosa, sama ada berlaku secara fizikal atau melalui platform digital, kerana Islam mewajibkan kejujuran dan amanah dalam setiap urusan.
“Apabila seseorang menyembunyikan status sebenar, memalsukan maklumat diri atau menjalin hubungan atas dasar penipuan, maka perbuatan itu jelas haram dan tidak boleh sama sekali dinormalisasikan atas alasan teknologi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan lebih 13 juta pengguna menjadikan aplikasi cari jodoh dalam talian sebagai pilihan mencari pasangan hidup.
Fenomena itu kini menjadi norma dalam kalangan masyarakat Malaysia, juga beberapa negara luar, terutama generasi muda yang sibuk bekerja dan kurang peluang sosial untuk bertemu pasangan.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, penggunaan aplikasi ini boleh menjadi haram sekiranya melibatkan hubungan emosi tanpa keperluan serta perbualan menggoda termasuk perbuatan mendekati zina.
“Pengguna beragama Islam perlu ingat, alasan ingin mencari pasangan tidak boleh dijadikan lesen untuk melanggar batas syarak, kerana niat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah,” katanya.
Oleh itu jelasnya, umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan aplikasi cari jodoh sebagai medan hiburan atau eksploitasi, kerana penyalahgunaannya bukan sahaja mencemarkan tujuan perkahwinan, malah menjurus kepada perbuatan haram dan dosa di sisi agama. – UTUSAN











