Dilema mentua minta taja rumah terbuka

Dilema mentua minta taja rumah terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Saya tinggal dengan keluarga mentua. Mereka rancang membuat rumah terbuka minggu depan tetapi mahu anak menantu menajanya. Saya sangat tertekan! Bajet makin berkurang sebab belanja anak-anak sekolah, bulan puasa dan balik kampung beraya. Nak meluahkan tiada duit, segan dengan mentua. Nanti apa pula kata mereka.

SUAMI buntu

JAWAPAN

Mengadakan rumah terbuka sempena menyambut perayaan merupakan satu amalan mulia yang dapat mengeratkan silaturahim serta membuka ruang meraih pahala dan keredaan Allah.

Namun begitu, sekiranya penganjuran majlis ini menjadi beban kepada ahli keluarga yang kurang berkemampuan, ia bukan sahaja boleh menghilangkan kegembiraan, malah boleh menimbulkan tekanan serta suasana yang tidak harmoni dalam keluarga.

Oleh itu, disertakan beberapa panduan:

Pengurusan emosi – Belajar untuk tenangkan diri. Apabila terlalu banyak perkara perlu ditanggung, anda juga boleh ‘meletup’ dalam diam tanpa sedar. Oleh itu, cari masa untuk diri sendiri walaupun hanya 10 hingga 15 minit sehari. Ambil peluang untuk tarik nafas dalam dan beristighfar. Ia dapat membantu anda mengawal emosi dengan stabil.

Berbincang dengan isteri- Terangkan status kewangan anda kepada isteri. Sekiranya isteri bekerja, mungkin dia boleh membantu meringankan beban kewangan bersama. Namun, jika isteri tidak bekerja, boleh sama-sama berbincang mencari jalan terbaik mengikut kemampuan untuk majlis rumah terbuka keluarga nanti.

Fokus keperluan keluarga- Utamakan keperluan keluarga. Sekiranya ada lebihan yang boleh disumbangkan, berikan sekadar kemampuan. Jangan memaksa diri untuk memberi sumbangan di luar kemampuan sehingga menjadi bebanan kepada anda sekeluarga. Biar sedikit asal ikhlas.

Kenal pasti komitmen – Kenal pasti ‘tajaan’ yang dimaksudkan oleh keluarga mentua. Adakah mereka mahu anak-anak menanggung semua majlis sepenuhnya? Bayaran mengikut keluarga atau sumbangan bantuan ikut kemampuan ahli keluarga. Kalau dapat kepastian ini, mungkin dapat mengurangkan tekanan yang dialami.

Beri cadangan – Jika masih perlu berkongsi kos, anda boleh cadangkan versi lebih sederhana, seperti majlis yang lebih kecil untuk keluarga dan jiran terdekat sahaja. Ubah cara lain dengan membuat potluck iaitu setiap orang bawa makanan sendiri. Hadkan jumlah jemputan.

Perbincangan dengan mentua – Selepas pertimbangan dibuat, ajak ibu bapa mentua berbincang. Jelaskan kepada mereka situasi yang anda alami dan sekadar mana yang anda mampu memberi sumbangan untuk majlis tersebut. Pendekatan ini membantu memastikan semua pihak memahami keadaan sebenar tanpa menimbulkan salah faham atau ketegangan.

Kesimpulannya, menjaga hati orang tua penting, namun keperluan keluarga sendiri juga perlu diutamakan.

Pertimbangan yang bijak menjadikan perhubungan dengan mentua dapat sentiasa dipelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN