KUALA LUMPUR: Cubaan sindiket menyeludup dan mengedar dadah jenis methamphetamine dari Kedah dan Perlis ke Lembah Klang tumpas apabila polis merampas lebih setengah tan bahan terlarang itu dalam beberapa siri serbuan sekitar Selangor, 27 Mac lalu.
Rampasan keseluruhan dadah seberat 519 kilogram yang dianggarkan bernilai RM16.608 juta itu dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 2.6 juta penagih.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Din berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berumur 21 dan 33 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama kira-kira pukul 7.20 pagi di Subang Jaya menyaksikan sebuah kereta Proton Saga ditahan dan menemukan enam guni mengandungi 150 bungkusan dadah methamphetamine seberat 156 kilogram.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah sewa jenis inap desa di kawasan sama yang dijadikan stor simpanan dadah dan berjaya merampas 12 guni berisi 300 bungkusan dadah seberat 312 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.
Beliau berkata, serbuan ketiga pula dilakukan pukul 1.00 petang hari sama di sebuah gudang di Taman Bukit Permai, Ampang dan membawa kepada penemuan dua guni lagi dadah jenis sama seberat 51 kilogram.
“Sindiket itu dipercayai aktif sejak September tahun lalu dan menggunakan premis sewaan harian seperti rumah inap untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Rumah inap yang digunakan dalam kes tersebut disewa pada kadar RM195 sehari sejak 26 Mac lalu,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian air kencing, namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod lampau di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.
“Kedua-dua suspek direman selama 11 hari bermula 28 Mac hingga 7 April bagi membantu siasatan lanjut, termasuk usaha mengesan saki-baki rangkaian sindiket serta aset-aset yang boleh disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Mat Zani berkata, polis kini mengalihkan tumpuan kepada kelab-kelab malam yang disyaki menjadi lokasi baharu aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di seluruh negara.
Katanya, taktik biasa yang menggunakan premis terbiar dan kawasan terpencil untuk kegiatan itu kini tidak lagi relevan sebaliknya sindiket dadah telah beralih ke kelab-kelab malam eksklusif.
“Kami mempunyai maklumat sahih bahawa beberapa kelab malam di seluruh negara telah berubah fungsi menjadi sarang dadah versi baharu,” katanya










