PETALING JAYA: Malaysia melihat China tampil sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip dalam dunia yang kian mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim justeru itu berkata, Malaysia menghargai kestabilan itu dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.
“Dalam dunia yang kian mencabar, kita melihat China tampil sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip. Malaysia menghargai kestabilan ini dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.
“Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.
“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” katanya dalam Facebook beliau.
Pada Selasa lalu, Xi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam Lawatan Negara selama tiga hari.
Kehadiran Xi ke Malaysia menyaksikan 31 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China ditandatangani dalam pelbagai sektor termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI), pelancongan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Lawatan Negara yang pertama sejak 12 tahun lalu oleh Xi itu adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama.
Katanya, keakraban itu terus utuh dan diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.
“Di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.
“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepemimpinan Presiden Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat.
“Prinsip dan pendirian Presiden Xi nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi,” katanya.-UTUSAN











