2,500 murid dapat manfaat Bantuan Cermin Mata percuma

2,500 murid dapat manfaat Program Bantuan Cermin Mata percuma

MOHAMAD Abdul Hamid (belakang, tiga dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan cermin mata percuma untuk daerah SPT di SK Jalan Baharu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 2,500 murid sekolah di Pulau Pinang menerima manfaat daripada Program Bantuan Cermin Mata percuma hasil inisiatif kerajaan negeri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta yang berkaitan.

Menerusi program itu, dana sebanyak RM500,000 disalurkan dengan setiap satu daripada lima daerah di negeri ini me­nerima peruntukan RM100,000 untuk diagihkan dalam bentuk bantuan terbabit kepada 500 murid terpilih.

Difahamkan, ketika ini, bantuan tersebut diagih kepada tiga daerah iaitu di Barat Daya, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, program bantuan cermin mata itu diharap dapat membantu murid-murid untuk melihat dengan lebih jelas dan belajar dengan lebih baik.

“Ia juga diharap dapat me­ringankan beban ibu bapa terutamanya daripada kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

“Bagi saya, inisiatif ini selari dengan komitmen kerajaan ne­geri untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama di bawah visi Pe­nang2030,” katanya ketika majlis penyerahan bantuan tersebut untuk daerah SPT di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu di sini, semalam.

Dalam pada itu, seorang murid, Muhammad Zakwan Wafiy Abdul Razak, 12, bersyukur ke­rana namanya tersenarai dalam kalangan penerima bantuan cermin mata itu.

“Saya tahu nak beli ‘spek’ (cermin mata) sendiri bukan murah. Jadi, seronoklah apabila dapat bantuan macam ni. Nak baca buku pun senang, Alhamdulillah,” katanya.

Muhammad Afif Darwisy Mohd. Rashid, 10, pula berkata, bantuan cermin mata percuma membantu penglihatannya selain memudahkan urusan sehariannya ketika ini.

“Saya ada masalah rabun jauh dan cikgu saya tahu akan masalah yang saya hadapi ini. Terima kasih cikgu dan terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya yang ditemani ahli keluarga ketika menghadiri program berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN