PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempermudahkan proses tuntutan Wang Tidak Dituntut (WTD) yang kini jumlah terkumpulnya sudah pun mencecah RM12.7 bilion.
Kerenah birokrasi yang disifatkan sebagai melecehkan itu menjadi punca ramai penuntut khususnya golongan berusia tidak meneruskan hasrat mereka untuk menuntut WTD sehinggakan jumlahnya terus meningkat saban tahun.
Berkongsi pengalaman sendiri menuntut WTD di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), pakar ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, permohonan ahli keluarganya untuk mendapatkan semula wang tersebut ditolak walaupun semua dokumen diperlukan sudah pun dihantar.
“Ini antara punca kenapa ramai orang tidak meneruskan tuntutan, sudahlah prosesnya rumit kerana memerlukan dokumen sokongan daripada pihak pemberi wang namun apabila surat pengesahan diberikan, permohonan ditolak.
“Sepatutnya, proses tuntutan wang khususnya daripada institusi kewangan seharusnya lebih mudah kerana mereka merupakan organisasi profesional dan apabila nama penuntut sendiri sudah ada di dalam sistem JANM kenapa perlu lagi dokumen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, jumlah wang yang tidak dituntut berjumlah RM12.7 bilion direkodkan sehingga 31 Januari lalu oleh Kementerian Kewangan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelbagai inisiatif dilakukan oleh pihak Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi menggalakkan rakyat Malaysia menuntut wang tersebut.
Tinjauan tusan Malaysia mendapati isu sebenar dihadapi penuntut adalah kerenah birokrasi yang melampau untuk membuat tuntutan antaranya banyak dokumen dan masa panjang diambil untuk proses itu serta laman web permohonan yang kerap tergendala dan di bawah penyelenggaraan.

Abu Sofian berkata. sekiranya sumber wang tersebut adalah daripada institusi kewangan dan jika jumlahnya kurang daripada RM500 maka permudahkanlah tuntutan itu kerana tidak berbaloi untuk penuntut bersusah payah menyediakan dokumentasi dan lain-lain hanya untuk mendapatkan jumlah begitu.
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, masih ramai sebenarnya tidak mengetahui proses tuntutan meskipun kerajaan menyediakan platform seperti eGUMIS.
Katanya, penuntut juga berhadapan masalah kesukaran mendapatkan dokumen sokongan seperti sijil kematian, pewarisan atau surat kuasa.
Beliau mencadangkan kerajaan memudahkan proses tuntutan seperti memperkenalkan notifikasi automatik seperti sistem pesanan ringkas (SMS) dan di media sosial seperti Whatsapp.Anaz berkata, akses kepada perkhidmatan tuntutan juga boleh diperluaskan melalui pejabat pos, pusat sehenti dan pusat khidmat rakyat.
Katanya, selain itu, kempen kesedaran juga perlu lebih komprehensif dan berterusan seperti infografik dan diletak di lokasi-lokasi strategik seperti pasar raya, stesen bas, kereta api dan lapangan terbang.
“Langkah-langkah ini dapat memastikan dana dikembalikan kepada pemilik yang berhak dan mengurangkan jumlah wang tidak dituntut ini.
“Selain itu, antara faktor tidak dituntut baki wang ini mungkin kerana pemilik beranggapan jumlah wang yang kecil selain masih kurang kepada akses teknologi dan kurang celik digital.
“Makluman berkaitan perkara itu juga masih kurang khususnya di media sosial dan media arus perdana dan elektronik seperti di televisyen dan radio,” katanya. – UTUSAN









