Rombakan Kabinet tidak ‘ganggu’ ekonomi negara - Utusan Malaysia

Rombakan Kabinet tidak ‘ganggu’ ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tugas besar jika mahu merombak Kabinet kerana individu yang dipilih haruslah mempunyai imej bersih serta berkebolehan menjalankan tugas bagi memastikan kepercayaan pelabur asing tidak tergugat.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kedudukan beberapa menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet yang dilihat tidak menunjukkan prestasi sepatutnya hanya melemahkan keyakinan pelabur kepada negara.

“Sudah sampai masanya Perdana Menteri melakukan langkah yang wajar dan berani, melihat kepada pencapaian sebenar barisan Kabinet serta melakukan rombakan. Pelantikan ini perlulah dilihat secara keseluruhannya bagi menjamin kestabilan ekonomi.

“Menteri dan timbalan menteri yang lebih banyak menjadi liabiliti kepada bukan sahaja Perdana Menteri malah kepada negara dan masa depan rakyat, perlu diketepikan.

“Keputusan harus, cepat, tepat dan berdasarkan keperluan serta misi halatuju negara. Ini bukan semata-mata untuk sokongan atau kuota parti tetapi mengenai rakyat yang kesusahan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Baharom, ketika ini pemimpin perlu menggembleng tenaga, wadah pemikiran dan tindakan untuk membangkitkan ekonomi negara supaya dapat keluar daripada kesusahan pandemik dan bencana banjir.

“Kita tidak mahu menteri yang gemar publisiti, tidak mampu menggerakkan jentera kecemasan atau asyik memohon maaf selepas kerap melakukan kesilapan,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti City, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, rombakan Kabinet tidak akan merosakkan ekonomi negara kerana ia bukan perubahan kerajaan.

“Pertukaran juga sudah tentu hanya mengaitkan menteri atau timbalan menteri yang ‘bermasalah’ serta mempunyai imej buruk dalam kalangan rakyat Malaysia. Perdana Menteri menggalas tugas berat namun beliau bertanggungjawab membetulkan keadaan,” katanya.

Setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri di­jang­ka melakukan rombakan Ka­binet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu ha­dapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN