PUTRAJAYA: Hakim yang mendengar dan memutuskan kes yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah melakukan satu salah arah teruk apabila gagal mengambil kira bahawa saksi pendakwaan memberi keterangan dalam keadaan tertekan.
Menurut peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, saksi pendakwaan ke-13 (SP13), bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali telah berada di bawah tekanan yang teruk sewaktu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sehingga ia boleh memberikan satu inferens bahawa saksi itu telah mereka-reka keterangan bagi memuaskan hati SPRM.
“Saksi sendiri ketika ditahan reman oleh SPRM memberitahu isterinya “bagi tahu pada sahabat-sahabat di luar, tak payah buat-buat PC (sidang media) ni apa, sebab kat dalam, saya yang kena teruk, bukan mereka kat luar,”kata peguam itu.
Tambah Hisyam, bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah yang juga saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bahawa beliau telah dikasari dan diugut pegawai SPRM ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020.
“Oleh itu, tidak boleh disangkal bahawa SP13 telah terjerumus dengan taktik menekan sewaktu siasatan untuk memberi keterangan tidak memihak kepada perayu (Syed Saddiq).”kata Hisyam pada hari pertama pendengaran rayuan berhubung sabitan salah dan hukuman di mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Tambah peguam itu, bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah yang juga saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bahawa beliau telah dikasari dan diugut pegawai SPRM ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020.
Tindakan (tidak mengambil kira tekanan yang diterima oleh saksi) tersebut merupakan satu pelanggaran Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah yang menjadikan empat pertuduhan yang dikenakan kepada bekas Presiden Muda itu tidak selamat dan wajar diketepikan.
Selain itu, hakim bicara juga gagal mengambil kira bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukanlah satu penafian semata-mata sebaliknya disokong oleh fakta dan bukti.
Sementara itu, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden menyatakan, Syed Saddiq tidak boleh dikatakan telah menyalahgunakan wang kerana wang tersebut adalah miliknya.
“Hasil yang dikutip pada majlis meraih dana adalah bagi membantu perayu (Syed Saddiq) dalam kempen pilihan rayanya kerana beliau telah menggunakan duitnya sendiri dalam kempen tersebut. Oleh itu wang tersebut adalah miliknya dan bukan milik Armada.
“Berdasarkan dapatan hakim bicara sendiri mendapati bahawa wang tersebut adalah milik perayu dan tindakan Syed Saddiq meminta Rafiq untuk memindahkan wang RM120,000 ke dalam akaun peribadinya bukanlah satu salah guna. Adalah jelas bahawa Rafiq menyimpan wang RM120,000 itu bagi pihak Syed Saddiq,” kata peguam itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pendengaran rayuan bersambung esok dengan hujah pihak pendakwaan. – UTUSAN