‘Serangan’ lalat jejas perniagaan

‘Serangan’ lalat jejas perniagaan

SYAIFUL Nizam Abu menunjukkan kertas perangkap dipenuhi lalat di kedai makannya di Ayer Kuning, Tapah, Perak. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: “Setiap hari ribuan lalat masuk restoran, pelanggan baharu yang tidak sempat duduk pun sudah lari.” Itu luahan Syaiful Nizam Abu, 40, pemilik restoran yang sudah lebih 30 tahun beroperasi di pekan kecil ini, namun kini terjejas teruk akibat serangan lalat yang berlarutan lebih sebulan.

Masalah lalat bukanlah perkara asing bagi penduduk Ayer Kuning, namun kali ini luar biasa. Gangguan yang lazimnya reda dalam beberapa hari kini semakin parah hingga memaksa peniaga mengeluh dan pelanggan menjauh.

“Saya sendiri terpaksa habiskan lebih RM20 sehari beli 30 kertas perangkap lalat. Ribuan ekor melekat setiap hari, tetapi tetap tak cukup.

“Makanan semua kena tutup rapat, sebab bimbang lalat bertelur. Risiko kesihatan pelanggan sangat tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Syaiful percaya punca utama berpunca daripada penggunaan tinja ayam yang tidak dirawat untuk pertanian serta penternakan ayam dan khinzir secara terbuka di sekitar kawasan itu.

“Lalat bukan saja ganggu restoran, tapi sampai ke rumah penduduk kampung. Sedangkan mereka bukan pun bela haiwan atau tanam sayur,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan, berkata punca gangguan lalat disyaki akibat penggunaan tinja ayam tidak dirawat dan penternakan haiwan yang tidak mengikut piawaian kebersihan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×