Koperal Hafizul teruja isteri kembali bekerja

Koperal Hafizul teruja isteri kembali bekerja

NUR Azhanis Mohd. Yusoff (tengah) ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Anggota polis berpangkat koperal yang maut dirempuh dan digilis kenderaan mewah dinaiki empat penjenayah amat teruja setelah isterinya kembali bekerja.

Nur Azhanis Mohd. Yusoff, 36, tidak menyangka keterujaan arwah setelah dia kembali bekerja sebulan lepas menjadi petanda suaminya akan meninggalkannya dan anak-anak buat selama-lamanya.

“Sudah setahun saya berhenti kerja, jadi arwah sangat gembira apabila saya kembali bekerja malah dia yang mencarikan kerja itu kepada saya iaitu sebagai kerani. Rupa-rupanya mahu ‘tinggalkan’ kami selamanya.

“Selain itu arwah juga meminta adik saya, Nur Najwa, 32, tinggal bersama kami sejak seminggu lepas secara tiba-tiba untuk menemani saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam, Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan bahagian badan setelah dirempuh kenderaan dinaiki empat penjenayah di Taman Golf, di sini.

Mangsa yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah tiba ke sebuah kediaman di taman perumahan itu bersama rakan setugas untuk mengejar suspek setelah menerima maklumat.

Sementara itu, Nur Azhanis berkata, walaupun trauma dengan pemergian suami yang dikahwini sejak 12 tahun lalu dia akan berusaha sedaya upaya memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka yang berusia empat hingga 11 tahun itu.

“Saya harus kuat untuk anak-anak dan teruskan hidup, walapun sedih tapi reda kerana arwah pergi ketika bertugas dan ianya sesuatu yang mulia,” katanya.

Ujarnya, sebelum kejadian arwah yang sudah 15 tahun berkhidmat sebagai polis itu sempat menjemput dua anak mereka dari sekolah sebelum menghantar ke kuarters polis.

“Hari ini arwah sendiri yang ambil dan dia sempat beri wang kepada anak-anak setelah mereka meminta kebenaran untuk ke pusat beli-belah. Sebelum ini arwah tidak pernah benarkan mereka pergi sendiri,” katanya.

Menurut Nur Azhanis, arwah juga ada mengadu tidak shift pada malam kelmarin berkemungkinan tidak cukup rehat setelah baru pulang dari kampungnya di Setiu, Terengganu.

“Saya suruh dia berehat sahaja tetapi arwah kata dia sibuk jadi terpaksa ke tempat kerja. Saya dapat tahu kejadian menimpa arwah pukul 5 petang tadi dan mulanya mereka tidak maklum punca kejadian mungkin untuk menjaga perasaan saya, di hospital baru saya tahu kisahnya, terasa luluh hati saya,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN