Bapa mentua polis dilanggar penjenayah anggap seperti anak sendiri

Bapa mentua polis dilanggar penjenayah anggap seperti anak sendiri

KETUA Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan di Jabatan Forensik HSB di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bapa mentua kepada anggota polis yang terbunuh dilanggar suspek kes pecah rumah menyifatkan arwah sebagai menantu yang penyayang dan ringan tulang.

Malah bagi Mohd. Yusoff Murad, 67, Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, itu tidak ubah seperti anak kandungnya.

“Saya sayang arwah macam anak kandung sendiri, dia sangat penyayang dan menghormati kami selain prihatin dengan kebajikan kami sekeluarga termasuk adik-adik iparnya dan duit belanja dia akan beri setiap bulan untuk kami.

“Tetapi Tuhan lebih sayangkan arwah dan kami semua reda dengan kehilangan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Arwah meninggalkan seorang balu, Nur Azhanis Mohd. Yusoff, 36 dan tiga anak berusia  11, 9 dan empat tahun.

Menurut Mohd. Yusoff, kali terakhir mereka bertemu beberapa hari lepas ketika arwah menghantar anak bongsunya ke rumahnya di Kubang Rotan.

Sementara itu menurut adik ipar mangsa, Nur Najwa, 32, kematian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.

“Arwah suka menolong kerana apa sahaja dia akan bantu dan kebetulan sudah seminggu saya duduk di kuarters tempat tinggal mereka atas permintaan kakak untuk menemaninya dan menguruskan anak mereka kerana kakak baru dapat kerja,” katanya.

Ketika ditanya perubahan sikap arwah, katanya, abang iparnya kelihatan seperti biasa cuma nampak lebih manja dengan anak-anaknya hari ini.

“Hari ini anak bongsu arwah sempat telefonnya kira-kira pukul 12 tengah hari untuk bercakap tapi dia kata sibuk. Satu kelainan apabila arwah juga bagi kebenaran kepada dua lagi anaknya ke pusat beli-belah bersama duit belanja yang selalunya dia tidak benarkan,” katanya.

Menurut Nur Najwa, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Setiu, Terengganu untuk dikebumikan selepas urusan bedah siasat selesai di HSB.

Terdahulu, akhbar ini menyiarkan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) maut akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus dinaiki empat penjenayah dalam kejadian di Taman Golf, di sini kira-kira pukul 3.30 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN