JITRA: Seorang wanita warga emas cemas apabila kereta dinaiki bersama suaminya dilarikan penjenayah yang telah melanggar mati anggota polis dalam kejadian di Pekan Kepala Batas, di sini.
Dalam kejadian petang tadi, orang ramai yang berada di sebuah kedai makan berhadapan Klinik Kesihatan Kepala Batas, terkejut melihat tiga lelaki berlari keluar daripada sebuah kenderaan yang disangka mahu meletup.
Kejadian berlaku ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota itu dipandu salah seorang penjenayah terbabit melanggar Perodua Myvi di tempat kejadian.
Menurut peniaga, Mohd. Shaiful Hafiq Mohd. Hadir, 33, dia terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat tiga lelaki meluru keluar dari SUV tersebut.
“Saya ingat mereka lari sebab takut kereta meletup selepas terlibat kemalangan, rupa-rupanya penyamun. Kemudian saya terdengar suara meminta tolong dari dalam SUV itu dan mendapati ada wanita warga emas berusia lingkungan 70-an di tempat duduk hadapan.
“Dia kata ‘tolong saya, mereka rompak saya’. Bila saya dapat tahu mereka sebenarnya penjenayah, saya dan orang ramai terus mengejar suspek dan berjaya menahan seorang daripada mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat koperal maut dilanggar SUV jenis Lexus dinaiki empat penjenayah ketika sedang melarikan diri dari Taman Golf sebelum salah seorang mereka ditahan di situ.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Tarmizi Che Ismail, 29, berkata, dia dengan bantuan orang ramai berjaya menangkap salah seorang suspek selepas mereka kemalangan di Kepala Batas.
“Dia ada beritahu pening dan seperti mahu pengsan sebelum meminta air minuman. Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.
Tambahnya, wanita warga emas dibawa keluar dari SUV dan ditempatkan di kedai makannya buat sementara.
“Dia kelihatan takut dan menggeletar serta mengadu sakit bahagian pinggang. Wanita warga emas itu beritahu dia tidak boleh berjalan kerana menggunakan kerusi roda.
“Dia juga ada cerita bahawa penjenayah tolak keluar suaminya sebelum melarikan kenderaan di kawasan Pejabat Tabung Haji dekat sebuah hotel di Titi Gajah, Alor Setar sebelum terlibat kemalangan di situ,” katanya. – UTUSAN









