PETALING JAYA: Jurulatih skuad ragbi bawah 20 (B-20) negara, Syed Shazril Syed Mahadzir meletakkan sasaran awal untuk muncul empat pasukan terbaik dalam Kejohanan Ragbi Asia bawah 20 (B-20) tujuh sebelah (7s) di Bihar, India pada hujung minggu ini.
Shazril berkata, sebanyak sembilan negara mengambil bahagian dalam kejohanan itu akan dibahagikan kepada dua kumpulan dua pasukan terbaik menjadi sasarannya bagi membolehkan mereka layak ke separuh akhir kejohanan.
“Untuk sasaran awal ini, secara realistiknya memang kita nak berada di empat pasukan terbaik. Namun, berdasarkan pencapaian 2023, kita naib johan kejohanan. Kita kalah kepada Hong Kong (19-14).
“Jadi, kalau saya tengok kekuatan pasukan negara yang menyertai kejohanan pada tahun ini masih lagi mengekalkan pemain yang sama.
“Saya meletakkan sasaran layak dahulu ke peringkat empat terbaik dan kalau kita boleh pergi lebih baik, itu bonus untuk pasukan. Kami kena usaha lebih,” katanya.
Shazril juga jurulatih ragbi Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) memimpin pasukannya untuk muncul juara Kejohanan Ragbi Perlis 7s kategori B-20 selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 21-12 di Kangar pada 1 Jun lalu.
Mereka turut muncul juara di Kejohanan Ragbi Kelantan 7s kategori B-20 selepas menewaskan Sukma Kedah 29-07 di Kota Bharu, 30 Jun dan mengulas lanjut, Shazril berkata, persiapannya berada di tahap terbaik.
“Kami sudah mulakan persiapan sejak Jun lalu dengan menyertai kejohanan di Perlis dan Kelantan dan johan. Pasukan yang sama, ada enam pemain daripada skuad lalu. Pemain perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” katanya. – UTUSAN










