PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara terpaksa akur dengan kehebatan China apabila tewas 21-33 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Rugby Field, hari ini.
Berdepan antara pasukan pilihan kejohanan, Malaysia cuba memberikan tentangan sengit namun gagal mengekang permainan pantas dan tersusun lawan yang menguasai sebahagian besar perlawanan.
China terlebih dahulu membina kelebihan selesa sebelum skuad negara bangkit memberikan saingan pada penghujung perlawanan menerusi tiga try yang dihasilkan Muhamad Hafiezie Sudin, Amar Syamim Nor Herman dan Ammar Mohamad Zamri.
Walaupun tewas, semangat juang dipamerkan barisan pemain negara terutama pada separuh kedua memberi petanda positif menjelang baki aksi peringkat kumpulan.
Dalam format ragbi 7s yang berlangsung selama tujuh minit setiap separuh masa, kesilapan kecil sering membawa padah dan Malaysia dihukum oleh kecekapan China memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
Sementara itu, skuad wanita negara turut berdepan permulaan sukar apabila dibelasah China 0-43 dalam aksi Kumpulan E di venue yang sama.-UTUSAN











